KUALA LUMPUR - Status permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dibebaskan sepenuhnya (DNA) atau kekal dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas 47 kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi mungkin diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Berdasarkan sistem kehakiman, prosiding pendengaran permohonan dijadualkan berlangsung pada jam 9 pagi di hadapan Hakim, Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor.
Ia akan dimulakan dengan hujahan daripada peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Presiden UMNO berusia 73 tahun berkenaan, iaitu faktor-faktor yang perlu diambil kira oleh mahkamah, bagi membolehkan anak guamnya selaku pemohon diberi perintah DNA.
Sebelum ini, beliau memberitahu bahawa, tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan, tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap kes dihadapi, mewajarkan mahkamah untuk membebaskan Ahmad Zahid daripada kes berkenaan.
Selain itu, beliau juga menimbulkan hujahan bahawa Ahli Parlimen Bagan Datuk terbabit telah diberi perintah DNAA oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 4 September 2023.
Justeru katanya, tidak adil jika pertuduhan berkenaan masih tergantung atas bahu dan tengkuk bagi tempoh yang tidak diketahui.
Prosiding seterusnya akan beralih kepada hujahan daripada pihak pendakwaan selaku responden.
Sekiranya mereka membantah perkara itu, mahkamah akan mengambil kira hujahan mereka supaya permohonan DNA ditolak.
Bagaimanapun jika pendakwaan mengambil pendekatan berbeza, pilihan untuk mendapatkan perintah DNA akan lebih cerah buat Pengerusi BN tersebut.
Pada prosiding lalu, Nurulhuda Nur'aini mengarahkan responden memfailkan afidavit jawapan pada atau sebelum 13 Februari sementara pendengaran hujahan permohonan pada 24 Februari.
Ada juga kemungkinan, mahkamah akan menetapkan tarikh lain untuk keputusan status permohonan ahli politik berkenaan.
Pada 4 September 2023, Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) memberi perintah DNAA kepada ahli politik berusia 73 tahun berhubung kes Yayasan Akalbudi.
Bagaimanapun pada 8 Januari, AGC berkata, siasatan lanjut dan terperinci dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, ia merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana tersebut termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan kepada jabatan selepas Ahmad Zahid dipanggil untuk membela diri.
Jabatan itu berkata, setelah meneliti keseluruhan bahan, keterangan baharu dan hasil siasatan lanjut termasuk penilaian serta pertimbangan pendakwaan, mereka mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong bagi meneruskan pendakwaan dalam semua pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah tersebut berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana yayasan itu untuk membuat enam pembayaran kad kredit persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ahmad Zahid dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd.
Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport dan menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan serta Nepal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang di sini antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.