SHAH ALAM - Kesalahan pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di Malaysia tanpa pas atau dokumen perjalanan yang sah direkodkan paling tinggi dengan 4,804 kes tahun ini bagi tempoh setakat 19 Februari.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, bagi tempoh bermula 1 Januari, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui Bahagian Penguatkuasaan telah melaksanakan 1,855 operasi dengan 30,177 individu telah diperiksa.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 7,043 tangkapan PATI melibatkan pelbagai warganegara telah direkodkan.
"Berdasarkan jumlah tangkapan ini, kesalahan tertinggi direkodkan adalah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada di Malaysia tanpa pas atau dokumen perjalanan yang sah melibatkan 4,804 kes.
"Seterusnya, sebanyak 1,250 kes direkodkan di bawah Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa, diikuti 806 kes direkodkan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas, manakala 183 kes lagi melibatkan lain-lain kesalahan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, lapan negara yang mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi ialah Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Filipina, Thailand, Pakistan, India dan China.
Jelasnya, JIM menegaskan, komitmen berterusan dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang imigresen negara melalui pelaksanaan operasi yang lebih tegas, menyeluruh dan berfokus terhadap warga asing yang melanggar akta serta peraturan Imigresen.
"Operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara konsisten dan berfokus tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang imigresen," ujarnya.
Tambahnya, orang ramai digalakkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang pelanggaran undang-undang imigresen kepada pihak berkuasa bagi menyokong usaha penguatkuasaan yang lebih berkesan.