KOTA BHARU – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menyasarkan lebih ramai pelajar Orang Asli di negeri ini melanjutkan pengajian ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pada masa hadapan.
Pengarah Pendidikan Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, tiga pelajar terawal diumumkan sebelum ini, manakala dua lagi masing-masing berasal dari Pos Pasik, Gua Musang dan Sungai Rual, Jeli yang terkini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan lima pelajar Orang Asli berjaya menempatkan diri ke SBP tahun ini.
“Tahun ini lima orang dahulu, tahun hadapan kami mahu jumlah itu berganda. Usaha ke arah itu sudah dibuat dan kami tidak akan berhenti di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi tiga pelajar Orang Asli tersebut mendaftar bagi kemasukan sesi kedua Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, di sini, pada Isnin.
Siti Norina berkata, usaha mengenal pasti dan membawa lebih ramai pelajar Orang Asli menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dilaksanakan sebagai langkah awal untuk memperluas akses mereka ke SBP.
Beliau berkata, JPN turut merangka pelan tindakan khusus bersama pihak sekolah bagi memastikan pencapaian akademik pelajar Orang Asli di SBP sentiasa dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Ini selepas 10 dekad Orang Asli di SBP, jadi dari segi sokongan psikososial, kami sudah mengatur guru-guru secara sukarela untuk memberi perhatian khusus kepada lima pelajar Orang Asli ini bagi memastikan mereka benar-benar selesa.
“Kami faham mereka perlu menyesuaikan diri dengan suasana asrama, lebih-lebih lagi yang datang dari kawasan pedalaman seperti Sekolah Kebangsaan Pos Pasik yang terletak jauh di pedalaman,” katanya.
Tambah beliau, guru-guru akan menilai tahap penguasaan pelajar dan sekiranya perlu, bimbingan secara individu akan dilaksanakan supaya mereka tidak ketinggalan berbanding rakan sebaya.
“Jika pencapaian mereka kurang setanding pada peringkat awal, kami akan memberi perhatian khas,” katanya.