Tiga pelajar Orang Asli SPB terima Biasiswa Tengku Anis

Iklan
Muhamad Rasani (tiga dari kiri) menyampaikan biasiswa kepada Elfira Nur Zulhaiza (tiga dari kanan). Foto: ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Tiga pelajar Orang Asli yang berjaya mendapat tempat di sekolah berasrama penuh (SBP) di negeri ini menerima Biasiswa Tengku Anis (BTA) Khas Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Mereka ialah pelajar Tingkatan Satu berusia 13 tahun iaitu Elfira Nur Zulhaiza Che Emmie dan Muhammad Putra Faizul Ab Ghani dari Kampung Sungai Ruar, Jeli serta Nur Muhammad Al Khawarizmi Rosmi dari Kampung Lalang, Gua Musang.

Iklan
Iklan

Setiausaha MAIK, Muhamad Rasani Ramli berkata, biasiswa berkenaan julung kali diberikan khusus kepada pelajar Orang Asli yang berjaya ke SBP.

“Ini merupakan kali pertama pelajar Orang Asli menerima biasiswa RM450 sebulan bagi kemasukan ke SBP di bawah skim ini.

Iklan

“Biasiswa ini akan diberikan sehingga mereka tamat belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengiringi tiga pelajar Orang Asli tersebut mendaftar bagi kemasukan sesi kedua Tingkatan Satu dan Empat di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra di sini pada Isnin.

Iklan

Elfira Nur (kiri), Muhammad Putra Faizul (tengah) dan Nur Muhammad Al Khawarizmi (kanan) yang hadir mendaftar ke Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra.Foto: ADILA SHARINNI WAHID

Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan hasil kerjasama erat antara MAIK dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN) dalam memastikan akses pendidikan berkualiti turut dinikmati pelajar daripada komuniti berkenaan.

Jelasnya, sebelum ini bantuan lebih tertumpu kepada pelajar sekolah harian melalui program sedia ada, namun tahun ini menjadi detik penting apabila biasiswa BTA bagi kemasukan ke SBP turut diperluaskan kepada pelajar Orang Asli.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain skim berkenaan, terdapat juga bantuan pendidikan lain di bawah program MAIK yang turut dimanfaatkan komuniti Orang Asli.

“Biasiswa MAIK menyasarkan pelajar daripada golongan asnaf sama ada di sekolah di bawah JPN atau institusi pendidikan agama.

“Walaupun ada kuota dan peruntukan tertentu setiap tahun, sekiranya terdapat keperluan mendesak, MAIK bersedia menyalurkan bantuan,” katanya.