KUALA LUMPUR – Kebergantungan kepada perkhidmatan e-hailing bagi membawa pelajar menghadiri jemputan luar menjadi antara cabaran operasi yang dihadapi Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah di Taman Sri Keramat.
Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah, Mohd Suhairi Mohd Dahan, berkata, institusi itu belum memiliki van sendiri menyebabkan pihak maahad sukar membawa pelajar setiap kali menerima jemputan bacaan al-Quran, majlis berbuka puasa atau program dakwah.
“Setakat ini kami gunakan kereta guru termasuk sebuah Perodua Alza dan jika tidak mencukupi, kami tempah e-hailing.
“Dari sudut kos dan penyelarasan, agak mencabar terutama jika melibatkan kumpulan pelajar yang ramai, sebab itu kami memerlukan sebuah van,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, bagi urusan solat Jumaat pula, pelajar lelaki berjalan kaki lebih satu kilometer ke Masjid Al-Ansar Taman Keramat secara berkumpulan.
“Jika ada van, sudah tentu lebih memudahkan terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu atau jika ada keperluan segera,” ujarnya.
Maahad tersebut menempatkan kira-kira 30 pelajar lelaki dan perempuan peringkat rendah berusia tujuh hingga 12 tahun yang mengikuti kelas harian.
Selain itu, terdapat 22 pelajar lelaki peringkat menengah berusia 13 hingga 17 tahun yang tinggal di asrama.
Orang ramai yang ingin menyumbang bagi tujuan tersebut boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 14210023972120 atas nama Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah atau menghubungi 013-52 000 77 untuk maklumat lanjut.
Mohd Suhairi berkata, pihaknya memerlukan kira-kira 2,600 penyumbang yang sudi menyumbang RM50 setiap seorang bagi menampung kos pembelian van berkenaan.
“Fokus utama kami tetap kepada hafazan dan pembinaan sahsiah.
“Dalam masa sama, kami berusaha menambah baik kemudahan supaya pergerakan pelajar lebih teratur dan selamat,” katanya.