RUU had tempoh jawatan PM 10 tahun dibentang di Dewan Rakyat

Iklan
RUU itu dibentangkan oleh Azalina pada Isnin. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Iklan
Iklan

Beliau turut memaklumkan bacaan kali kedua dijangka berlangsung pada minggu depan.

Berdasarkan naskhah biru, Rang Undang-Undang (RUU) itu bertujuan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Iklan

Fasal 1 RUU ini mengandungi tajuk ringkas serta memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa Akta yang dicadangkan.

Manakala Fasal 2 RUU ini bertujuan untuk meminda Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Iklan

Fasal baharu (2a) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa seorang Perdana Menteri yang dilantik di bawah perenggan (2)(a) Perkara 43 tidak boleh pada bila-bila masa memegang jawatan Perdana Menteri selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah lebih daripada 10 tahun, sama ada secara terus-menerus atau selainnya.

Fasal baharu (4a) hingga (4d) juga dimasukkan ke dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam hal ini, Fasal baharu (4a) Perkara 43 memperuntukkan bahawa Perdana Menteri hendaklah terhenti memegang jawatan apabila tamat tempoh yang pada agregatnya berjumlah 10 tahun.

Manakala Fasal baharu (4b) Perkara 43 memperuntukkan bahawa anggota-anggota Jemaah Menteri hendaklah terhenti memegang jawatan berbangkit daripada pemberhentian jawatan Perdana Menteri.

Fasal baharu (4c) Perkara 43 memperuntukkan kesinambungan pentadbiran kerajaan dengan membenarkan Perdana Menteri dan anggota-anggota Jemaah Menteri yang telah terhenti memegang jawatan untuk terus menunaikan fungsi jawatan masing-masing sehingga seorang Perdana Menteri yang baharu dilantik menurut kuasa perenggan (2)(a) Perkara 43.

Fungsi yang ditunaikan oleh Perdana Menteri dan anggota-anggota Jemaah Menteri yang telah terhenti memegang jawatan di bawah Fasal baharu (4a) dan (4b) Perkara 43 adalah terhad bagi memastikan penjalanan pentadbiran harian kerajaan sehingga seorang Perdana Menteri dan anggota-anggota Jemaah Menteri yang baharu dilantik.

Fasal baharu (4d) Perkara 43 memperuntukkan pengiraan tempoh yang pada agregatnya 10 tahun sebagaimana yang disebut dalam Fasal baharu (4a).

Ia menyatakan bahawa apa-apa tempoh seseorang memegang jawatan Perdana Menteri sebelum permulaan kuat kuasa pindaan ini hendaklah diambil kira, manakala apa-apa tempoh seseorang itu melaksanakan fungsi Perdana Menteri berikutan pembubaran Parlimen di bawah Fasal (2) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diambil kira.

Sebagai tambahan, pindaan berbangkit turut dibuat kepada Fasal (5) Perkara 43 berikutan kemasukan Fasal baharu (4a) dan (4b) mengenai pemberhentian jawatan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.