Kastam sita 42 kenderaan mewah bernilai lebih RM22 juta

Iklan
Antara kenderaan mewah yang disita melalui operai khas Ops Terma di Depo Kastam.

JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan sindiket kenderaan mewah import selepas menahan empat lelaki dan menyita 42 kenderaan bernilai lebih RM22 juta termasuk cukai dalam Ops Terma yang dijalankan antara 1 Januari hingga 6 Februari lalu.

Pengarah JKDM Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, sebanyak 341 pemeriksaan dilaksanakan merangkumi premis gudang kereta mewah berlesen serta rondaan darat.

Iklan
Iklan

"Hasil daripada aktiviti penguatkuasaan tersebut, sebanyak 21 kes telah dibuka untuk siasatan dengan empat tangkapan melibatkan lelaki tempatan berusia antara 40 hingga 50 tahun yang merupakan pemilik syarikat terbabit.

"Kastam menyita 42 kenderaan. Secara keseluruhan, anggaran nilai rampasan termasuk cukai berjumlah RM22 juta," katanya dalam sidang media di Menara Kastam Johor di sini pada Isnin.

Iklan

Aminul Izmeer (dua, kiri) menunjukkan beberapa kenderaan mewah yang disita melalui operai khas Ops Terma di Depo Kastam.

Beliau berkata, siasatan mendapati permit import (AP) bagi kenderaan berkenaan adalah dari pelbagai negara antaranya Jepun dan United Kingdom (UK).

Iklan

Katanya, antara jenis kereta mewah import itu melibatkan jenis Mercedes-Benz, BMW, Toyota, Lexus dan Suzuki Jamny.

Menurut Aminul Izmeer, antara kesalahan yang dikesan ialah kegagalan membayar cukai kenderaan import dalam tempoh 24 bulan, walaupun diberi lanjutan sehingga 48 bulan, selain memandu kenderaan import di jalan raya tanpa membayar cukai.

"Operasi ini bertujuan memastikan pematuhan undang-undang dalam kalangan pemilik gudang berlesen selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 65 dan Seksyen 75 Akta Kastam 1967.

"Ops Terma turut menyasarkan kenderaan yang diimport secara tidak sah termasuk kenderaan import dari Singapura dibawa masuk tanpa permit import yang sah sebagaimana diperuntukkan bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya,

Antara kenderaan mewah yang disita melalui operai khas Ops Terma di Depo Kastam.

Beliau menjelaskan kes disiasat di bawah Seksyen 65 berkaitan pelanggaran syarat tempoh simpanan serta tuntutan cukai, Seksyen 75 berhubung pemindahan barang kawalan kastam tanpa kebenaran, dan Seksyen 135(1)(d) berkaitan menyimpan atau memiliki barang larangan import.

Aminul Izmeer menggesa orang ramai membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

Beliau menasihatkan agar masyarakat tidak terbabit dalam aktiviti sedemikian kerana penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi hasil, malah membahayakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

"JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri," katanya.