BERDASARKAN kes yang direkodkan, terdapat kematian dan kecederaan serius akibat kenderaan yang dinaiki dihempap pokok. Ada insiden yang berlaku disebabkan faktor cuaca atau struktur tanah yang lemah sehingga menyebabkan pokok tumbang.
Terbaharu, dalam kejadian pada 16 Februari lalu, dua pensyarah wanita Universiti Teknologi Mara (UiTM) cedera parah selepas kenderaan Mitsubishi Xpander yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Seksyen 7, Shah Alam.
Dalam kes lain, seorang penunggang p-hailing maut akibat dihempap pokok tumbang di Jalan Tun Razak-Ayer Keroh, Melaka 6 Disember tahun lalu.
Itu antara kes yang dilaporkan dan sudah pasti mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk serta pengguna jalan raya.
Terdapat juga penduduk yang meluahkan kerisauan dan mendakwa kejadian pokok tumbang berlaku bukan disebabkan faktor usia pokok, hujan lebat atau ribut, sebaliknya berkemungkinan besar berkait dengan struktur tanah.
Sememangnya pokok dan struktur tanah di setiap laluan kenderaan perlu diselenggarakan bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sebanyak 4,828 kes pokok tumbang direkodkan di seluruh negara pada tahun 2023.
Kor Ming berkata, bilangan kes tertinggi direkodkan di Selangor membabitkan 953 kes, diikuti Perak (575 kes) dan Johor (523 kes).
Jika dinilai berdasarkan jumlah tersebut, ia merupakan angka yang besar dan perlu ditangani segera.
Dalam kenyataan di Parlimen pada Ogos tahun lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan komited mengambil pendekatan komprehensif bagi membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) mencegah insiden pokok tumbang.
Antaranya termasuk melaksanakan pemeriksaan berkala untuk menilai tahap penjagaan dan risiko pokok serta memastikan setiap PBT mempunyai sekurang-kurangnya seorang arboris (doktor pokok) menerusi kursus pentauliahan.
Kesimpulannya, insiden pokok tumbang ibarat jerangkap samar yang tidak mengenal siapa mangsanya. Berhati-hatilah.