Tibi kembali menjadi ancaman

Iklan
Peningkatan kes tuberkulosis di Malaysia memerlukan perhatian serius daripada semua pihak. Gambar hiasan

PENINGKATAN kes tuberkulosis atau tibi yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia wajar diberi perhatian serius semua pihak. Sehingga Minggu Epidemiologi kelima tahun ini, 2,571 kes direkodkan di seluruh negara dengan 503 kes baharu dikesan.

Angka itu menunjukkan penyakit berjangkit itu masih belum berjaya dikawal sepenuhnya walaupun pelbagai usaha pencegahan telah dilaksanakan.

Iklan
Iklan

Beberapa negeri mencatatkan jumlah kes tinggi, khususnya Sabah dan Selangor, sekali gus menggambarkan cabaran kesihatan awam yang tidak boleh dipandang ringan.

Tibi bukan penyakit baharu, namun hakikat bahawa ia masih aktif menular menunjukkan kesedaran masyarakat mengenai pengesanan awal serta kepentingan rawatan berterusan masih belum memadai.

Iklan

Golongan warga emas dan individu dengan penyakit kronik amat mudah terdedah dan wajar mengambil langkah berjaga-jaga lebih rapi.

Keadaan ini menjadi lebih membimbangkan apabila negara bakal melalui musim perayaan yang menyaksikan peningkatan aktiviti sosial dan pergerakan orang ramai.

Iklan

Perhimpunan dalam ruang tertutup, pengangkutan awam sesak, tempat kerja serta rumah ibadat berpotensi mempercepat penularan kerana penyakit itu merebak melalui udara.

Tanpa langkah pencegahan, seorang individu yang dijangkiti boleh menyebarkan jangkitan kepada ramai orang lain tanpa disedari, termasuk ahli keluarga dan rakan sekerja.

Dalam masa sama timbul kebimbangan, kemunculan dan penularan tibi rintang pelbagai ubat (MDR-TB) serta tibi rintang meluas (XDR-TB) lebih sukar dirawat dan dikaitkan dengan kadar kematian lebih tinggi.

Rawatan penyakit ini memerlukan tempoh panjang dan hanya berkesan jika pesakit mematuhi pengambilan ubat sepenuhnya.

Kegagalan melengkapkan rawatan bukan sahaja membahayakan pesakit, malah meningkatkan risiko jangkitan lebih sukar dirawat dalam komuniti.

Kos rawatan yang tinggi dan komplikasi kesihatan turut membebankan sistem kesihatan.

Sehubungan itu, masyarakat perlu mengamalkan etika batuk dan bersin, memakai pelitup muka di kawasan sesak serta segera menjalani saringan jika mengalami batuk berpanjangan, demam atau susut berat badan.