AS-Iran: Pilih berunding atau berperang?

Iklan
Iran kini dilihat lebih bersiap siaga untuk menangkis sebarang serangan. Foto hiasan

KEMPEN tekanan Amerika Syarikat ke atas Iran kembali memuncak apabila kapal perang kedua sedang menuju ke perairan Asia Barat untuk menyertai armada sedia ada yang diketuai oleh USS Abraham Lincoln di rantau itu sejak bulan lalu.

Penganalisis percaya Washington sedang membuat persediaan untuk kemungkinan operasi yang berlanjutan selama beberapa minggu ke atas Teheran sekiranya Presiden Donald Trump mengarahkan serangan berskala besar.

Iklan
Iklan

AS juga cuba memperkukuhkan kedudukan tentera mereka di Asia Barat di samping mempamerkan kekuatan kepada musuh meskipun ia bukanlah jumlah terbesar seperti ketika Perang Teluk (1991) dan kempen pencerobohan ke atas Iraq (2003).

Ketegangan antara kedua-dua negara itu agak reda selepas delegasi AS dan Iran mengadakan rundingan di Oman pada awal bulan lalu sebagai usaha menghidupkan semula diplomasi mengenai program nuklear Iran yang menjadi sebab utama Trump berterusan mengugut Teheran.

Iklan

Tetapi, situasi itu berubah serta-merta selepas Pentagon mengerahkan USS Gerald Ford bersama pasukan tentera tambahan seakan-akan memberi isyarat perang boleh meletus pada bila-bila masa.

Pada kali ini, Trump dilihat tidak terus menyerang sebaliknya menunggu waktu yang dirasakan paling tepat selain cuba memanfaatkan situasi diplomasi sebelum mengambil tindakan ketenteraan.

Iklan

Ia berbeza dengan strategi beliau pada Jun tahun lalu ketika AS mengerahkan dua kapal pengangkut pesawat ke rantau Asia Barat. Operasi Midnight Hammer tersebut dilancarkan hanya beberapa hari selepas ketibaan armada tersebut.

Ia hanyalah serangan sekali sahaja yang menyasarkan tiga kemudahan nuklear Iran disusuli dengan tindak balas Teheran ke atas pangkalan tentera AS di Qatar. Tetapi, taktik serangan pada kali ini dikatakan lebih kompleks dan sukar diramal.

Pakar berpendapat tindakan AS menjolok sarang tebuan berisiko tinggi kerana Iran kini lebih siap siaga untuk menangkis sebarang serangan yang dikhuatiri mencetuskan konflik serantau yang lebih meluas.

Banyak pihak kini menaruh harapan agar perjanjian diplomatik dapat segera dicapai bagi mengelakkan konfrontasi ketenteraan, namun segala keputusan tetap terletak di tangan Trump.