BEIJING - Seorang pempengaruh kecantikan dari China dilapor kehilangan kira‑kira 140,000 pengikut selepas berlaku gangguan pada 'filter' semasa siaran langsung hingga mendedahkan wajah sebenarnya kepada penonton.
Kejadian itu mencetuskan perdebatan hangat mengenai piawaian kecantikan di media sosial.
Rakaman yang kini menjadi tular di pelbagai platform seperti TikTok dan Threads menunjukkan pempengaruh yang tidak didedahkan identitinya sedang melakukan siaran langsung.
Pada awalnya, wajahnya dilihat dimanipulasi oleh filter yang memberikan imej seorang wanita Asia yang cerah dan bertona kulit lebih halus serta ciri wajah yang lebih muda dan ramping.
Namun, ketika terdapat pergerakan tiba‑tiba semasa siaran langsung, filter tersebut terpadam seketika.
Dalam sekelip mata, penonton dapat melihat wajah sebenar pempengaruh itu yang menunjukkan tona kulit lebih gelap dan ciri wajah yang lebih matang.
Rakaman menunjukkan beliau cuba menamatkan siaran secara tergesa‑gesa selepas wajahnya terdedah secara tidak sengaja.
Menurut laporan yang tular dalam talian, kehilangan pengikut itu berlaku sejurus selepas rakaman tersebut tersebar.
Insiden ini mencetuskan perdebatan meluas tentang standard kecantikan yang diamalkan di media sosial ketika ini.
Ramai netizen tampil memberi sokongan kepada pempengaruh tersebut, menegaskan bahawa beliau kelihatan lebih menarik tanpa 'penapis digital'.
“Dia sebenarnya cantik tanpa filter,” tulis seorang pengguna.
Seorang lagi berkata: “Filter itu nampak tidak realistik, tetapi tanpa ia, dia kelihatan sangat menarik.”
Reaksi sebegini menunjukkan terdapat sebahagian penonton yang membela penampilan semula jadi individu berkenaan.
Namun, terdapat juga suara yang menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan filter yang melampau di media sosial, mendakwa ia mewujudkan standard kecantikan yang tidak realistik dan boleh menjejaskan keyakinan diri pengguna. - Agensi