SOLAT tarawih merupakan ibadah sunat yang khusus ditunaikan sepanjang bulan Ramadan selepas waktu Isyak.
Di kebanyakan kawasan,amalan solat sunat ini biasanya mengambil masa agak lama.
Namun di Pondok Pesantren Mamba’ul Hikam, Desa Mantenan, Blitar, Jawa Timur, tarawih 23 rakaat (termasuk witir) boleh diselesaikan dalam tempoh 10 hingga 13 minit sahaja.
Menurut laporan media tempatan, tradisi solat 'tarawih kilat' ini telah diamalkan sejak tahun 1907 dan diteruskan secara turun-temurun sehingga Ramadan 2026.
Pengasas pondok, KH Abdul Ghofur, mencipta kaedah ini bagi memudahkan penduduk tempatan, majoritinya petani, menunaikan solat tarawih secara berjemaah selepas seharian bekerja di sawah.
Dengan tempo pantas tetapi mengekalkan rukun dan syarat sah solat, Abdul Ghofur berjaya menarik ramai jemaah ke masjid.
Kesibukan masyarakat dari pagi hingga petang membuatkan ramai tidak mampu menunaikan solat tarawih dalam tempoh yang lama.
Justeru, Abdul Ghofur mengambil inisiatif mendirikan solat tarawih kilat supaya masyarakat wilayah Mantenan, Kecamatan Udanawu, Kabupaten Blitar, dapat menunaikan ibadah tanpa rasa terbeban.
Pengetua pondok, KH Dliya’uddin Azzamzami Zubaidi, menekankan bahawa solat tarawih kilat bukan perkara baharu atau satu kejutan kerana telah dilakukan secara konsisten sejak 1907.
Katanya, walaupun dalam tempoh singkat, namun cara itu tetap mengikut syariat Islam dengan tidak mengurangkan rukun atau syarat sah solat.
"Cara ini berjaya menggalakkan penduduk setempat menunaikan solat tarawih, malah setiap tahun ribuan jemaah datang menunaikan Tarawih di sini kerana tarikan utamanya ia dilakukan dalam tempoh singkat," katanya.
Seorang jemaah turut berkongsi pengalamannya mengikuti tradisi ini sejak kecil.
“Ini sudah menjadi tradisi keluarga kami. Semangatnya tinggi, jemaah ramai dan solat dapat diselesaikan dengan cepat tanpa mengantuk,” katanya.
Hampir setiap tahun, dilaporkan sekitar 1,500 orang mengambil bahagian.
Meskipun sering menimbulkan perdebatan dari perspektif fiqh, Majlis Ulama Indonesia (MUI) setempat melihatnya sebagai kepelbagaian ekspresi ibadah, selagi tiada rukun wajib yang sengaja ditinggalkan.
Tradisi tarawih di Mantenan cuba menyesuaikan diri dengan ritma masyarakat tanpa mengurangi nilai ibadah itu sendiri.
MUI telah menyatakan solat tarawih kilat di Pondok Pesantren Mamba’ul Hikam sebagai sah dan tidak menyalahi rukun dan syarat solat selepas pemerhatian langsung oleh utusan khas pada 2019 namun tarawih kilat tetap menimbulkan polemik dan pandangan yang berbeza dalam masyarakat Islam di Indonesia.
“Kami meneliti bersama-sama. Kebetulan saya sendiri yang menghantar pasukan khas dari Jakarta untuk melihat secara langsung Tarawih kilat. Dan memang perkara itu tidak biasa berlaku. Namun ia tetap sah dan tidak menyalahi kaedah solat,” kata Ketua Komunikasi MUI Daerah Blitar, Jamil Mashadi, pada waktu itu.
Menurut wakil MUI, walaupun dilaksanakan dengan pantas, solat tarawih di sini mengekalkan semua rukun dan syarat sah.
Bacaan surah dan Al-Fatihah tetap lengkap, manakala gerakan sujud, rukuk, dan tahiyat dilakukan dengan tersusun dan pantas.
Dalam liputan media, kenyataan seorang ketua Suruhanjaya Fatwa MUI menunjukkan bahawa jika cara solat pantas tersebut tidak mengikut kaedah solat yang betul, maka solat itu tidak diterima. - Agensi