SUKABUMI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di Sukabumi, Indonesia, dikenali sebagai NS, dilaporkan membuat pengakuan mengejutkan sebelum meninggal dunia, mendakwa dirinya dipaksa minum air panas oleh ibu tirinya.
Pengakuan itu tular di media sosial, menarik perhatian masyarakat tempatan terhadap isu penderaan kanak-kanak.
NS berasal dari Desa Bojongsari, Kecamatan Jampangkulon, Kabupaten Sukabumi.
Kejadian bermula apabila bapa NS, Anwar Satibi, menerima panggilan daripada isterinya ketika baru dua hari meninggalkan rumah bagi tugasan kerja di luar bandar.
Dalam panggilan itu, isterinya memaklumkan anaknya demam panas dan bercakap secara tidak menentu.
Anwar segera pulang dan terkejut melihat tubuh NS yang sudah melepuh.
Ibu tiri NS menafikan bahawa kecederaan itu berpunca daripada sebarang tindakan kasarnya dan mendakwa ia kerana NS demam.
NS kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Jampang Kulon.
Di situ, NS sempat membuat pengakuan ketika seorang lelaki berumur yang dihormati keluarga mendekatinya untuk berbual tentang keadaan dialami mangsa.
Dalam keadaan lemah, NS menamakan ibu tirinya sebagai punca kejadian, sambil menunjukkan telinganya yang cedera.
Bapa NS bertindak memukul isterinya itu akibat marah, namun segera ditegah oleh lelaki tersebut.
NS mengaku pernah dipukul sebelum terjatuh dan tidak sedarkan diri, selain dipaksa minum air panas.
Malangnya, selepas membuat pengakuan itu, NS tidak mampu bertahan dan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital.
Ketua Jabatan Forensik, Kombes Dr Carles Siagian, mendedahkan, pemeriksaan luaran menunjukkan luka bakar pada lengan, kaki kanan, bahu, dan belakang NS.
Terdapat juga kesan luka lama di sekitar bibir atas dan hidung, dipercayai berpunca daripada penggunaan alatan atau air panas, tetapi tidak cukup untuk menyebabkan kematian.
Pemeriksaan lanjut pada organ dalaman mendapati paru-paru NS sedikit bengkak, menyebabkan pihak forensik menumpukan kepada kemungkinan faktor lain.
“Kami telah mengambil sampel organ untuk dianalisis di makmal di Jakarta bagi mengenal pasti sebarang bahan berbahaya yang mungkin terdapat dalam organ mangsa,” katanya.
Dr Carles menegaskan bahawa tiada tanda-tanda kekerasan menggunakan objek tumpul ditemui, dan siasatan kini memfokuskan kepada ujian makmal untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kes ini menimbulkan kebimbangan masyarakat mengenai keselamatan kanak-kanak dan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk penderaan rumah tangga.
Kes NS menjadi peringatan bahawa penderaan kanak-kanak boleh berlaku dalam lingkungan keluarga sendiri dan menekankan kepentingan pemantauan, pendidikan ibu bapa, serta perlindungan undang-undang untuk anak-anak di seluruh Indonesia.-Agensi