WASHINGTON - Amerika Syarikat merancang menghantar sebuah kapal hospital ke Greenland, kata Presiden Donald Trump pada Sabtu, satu langkah yang boleh meningkatkan ketegangan dengan sekutu NATO, Denmark, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Trump menulis di platform Truth Social bahawa kapal itu akan"menjaga ramai orang yang sakit dan tidak mendapat rawatan di sana”.
"Ia sedang dalam perjalanan!!!” tambahnya sambil menyifatkannya sebagai kapal hospital yang"hebat”, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Ancaman berulang Trump dalam beberapa minggu kebelakangan ini untuk berpotensi mengilhakkan Greenland, wilayah Denmark yang mempunyai kepentingan strategik, telah menjejaskan hubungan antara Eropah dan AS.
Tentera Laut AS mengendalikan dua kapal hospital besar, masing-masing mempunyai kira-kira 1,000 katil termasuk 80 unit rawatan rapi. Kapal-kapal itu sebelum ini digunakan selepas bencana alam seperti gempa bumi atau taufan, dan turut beroperasi sementara di pelabuhan AS ketika kemuncak pandemik COVID-19.
Greenland, dengan populasi sekitar 57,000 orang, tidak melaporkan keperluan perubatan besar kebelakangan ini yang memerlukan penghantaran kapal hospital.
Tidak jelas sama ada misi itu telah diselaraskan dengan kerajaan Denmark atau pihak berkuasa Greenland yang mempunyai autonomi luas, dan garis masa penghantaran juga masih tidak menentu. Kapal hospital lazimnya beroperasi dengan kru minimum ketika berlabuh dan memerlukan masa untuk menggerakkan kakitangan sepenuhnya.
Sistem kesihatan awam Greenland merangkumi klinik tempatan serta Hospital Queen Ingrid di ibu negara, Nuuk, bagi kes rumit, dengan pemindahan perubatan sekali-sekala ke Denmark.
Negara Eropah termasuk Jerman, United Kingdom dan Perancis menyokong Denmark dan Greenland dengan menolak sebarang rancangan pengilhakan oleh AS. Rundingan antara Copenhagen, Nuuk dan pentadbiran Trump sedang berlangsung bagi mencari kompromi. - Bernama