GAZA CITY –Tentera Israel melancarkan serangan udara dan bedilan artileri di beberapa kawasan di Genting Gaza awal pagi Ahad, meskipun perjanjian gencatan senjata masih berkuat kuasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pesawat pejuang Israel menyasarkan kawasan timur bandar Rafah di selatan Gaza, menurut saksi kepada Anadolu.
Kenderaan tentera Israel turut melepaskan tembakan ke arah kawasan timur Khan Younis di selatan, manakala pasukan tentera laut melepaskan tembakan ke arah pesisir pantai bandar itu, kata saksi.
Di Gaza City, pesawat pejuang Israel melancarkan serangan udara ke atas kawasan timur yang turut disertai bedilan artileri secara berkala di lokasi sama.
Gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa di Gaza sejak 10 Oktober, sekali gus menghentikan serangan Israel selama dua tahun yang telah mengorbankan lebih 72,000 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,000 yang lain sejak Oktober 2023.
Namun, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, pasukan Israel didakwa melakukan ratusan pelanggaran sepanjang tempoh gencatan senjata menerusi bedilan dan tembakan, mengakibatkan 612 rakyat Palestin terbunuh dan 1,640 lagi cedera. - Bernama