Pesara rugi lebih RM300,000 terjerat pelaburan tidak wujud

Iklan
Pesara berusia 81 tahun rugi RM303,958.50 selepas terpedaya skim pelaburan tidak wujud di Facebook - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pesara berusia 81 tahun berputih mata apabila mengalami kerugian lebih RM300,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang dipromosikan menerusi media sosial pada Disember tahun lalu.

Mangsa membuat laporan polis pada Sabtu selepas menyedari dirinya diperdaya sindiket yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chan Hook berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada jam 5.01 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tertarik dengan satu pautan pelaburan yang dilihat di laman Facebook sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan pelaburan.

Iklan

“Mangsa diperkenalkan dengan sistem pelaburan yang kononnya mampu memberikan keuntungan tinggi.

“Dia kemudian membuat beberapa transaksi pindahan wang ke akaun bank berbeza yang diberikan oleh pihak terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Hoo berkata, mangsa dimaklumkan bahawa pelaburannya telah menjana keuntungan mencecah jutaan ringgit.

Bagaimanapun, katanya, mangsa diminta membuat bayaran komisen terlebih dahulu sebelum dibenarkan mengeluarkan keuntungan tersebut.

“Mangsa telah melakukan 15 transaksi ke empat akaun bank berbeza.

“Apabila mahu membuat pengeluaran, mangsa diminta membuat bayaran tambahan atas pelbagai alasan sebelum menyedari dirinya ditipu,” ujarnya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa adalah sebanyak RM303,958.50.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam tempoh singkat,” katanya.

Beliau menjelaskan, orang ramai perlu menyemak terlebih dahulu kesahihan mana-mana skim pelaburan melalui saluran rasmi sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.