RAWANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuat laporan polis susulan perbuatan liar sekumpulan penunggang motosikal yang membaling mercun ke arah anggotanya ketika sedang melaksanakan rondaan Op Tahun Baharu Cina di sekitar kawasan terbabit.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, pihaknya memandang serius perbuatan berkenaan kerana ia membahayakan anggota penguat kuasa serta pengguna jalan raya lain.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menghalang tugas penguatkuasaan atau bertindak agresif terhadap pegawai yang menjalankan tanggungjawab mereka.
“Saya telah arahkan anggota terlibat membuat laporan polis berhubung insiden itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Azrin berkata, JPJ akan terus melaksanakan operasi berfokus bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya, khususnya kesalahan melibatkan menunggang tanpa lesen, tiada insurans dan gagal memakai topi keledar.
Beliau turut menggesa orang ramai, khususnya penunggang motosikal, supaya menghormati anggota penguat kuasa dan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya bagi mengelakkan risiko yang tidak perlu serta tindakan undang-undang.
Sebelum itu, tular rakaman video di media sosial berhubung insiden terbabit.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam Sabtu ketika sepasukan anggota penguat kuasa JPJ menjalankan rondaan Op Tahun Baharu Cina di sekitar Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (LATAR) dan kawasan Tasik Puteri sebelum menahan sebuah motosikal di Jalan Tasik Puteri.
Penahanan itu dibuat selepas mendapati penunggang dan pembonceng dikatakan tidak memakai topi keledar.
Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa kesalahan dilakukan termasuk menunggang tanpa lesen memandu yang sah, cukai jalan tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.
Notis saman telah dikeluarkan kepada kedua-dua individu berkenaan.
Bagaimanapun, ketika pegawai mengeluarkan notis tersebut, sekumpulan penunggang motosikal dipercayai mula membaling mercun beberapa kali dari sebuah bukit.