TEHERAN – Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) berjaya menguji peluru berpandu pertahanan udara Sayyad-3G buat pertama kali dalam latihan ketenteraan 'Kawalan Pintar' yang berlangsung di Selat Hormuz.
Menurut kenyataan rasmi, peluru berpandu itu dilancarkan dari kapal Shahid Sayyad Shirazi, sekali gus menandakan pengoperasian sulung sistem berkenaan di platform maritim.
Sayyad-3G ialah varian laut bagi sistem pertahanan udara Sayyad-3 yang dilengkapi pelancar menegak dengan jarak operasi dilaporkan sehingga 150 kilometer.
Pihak berkuasa Iran memaklumkan sistem tersebut berkeupayaan mengesan dan memintas sasaran udara secara autonomi, selain disepadukan dalam rangkaian arahan dan kawalan menyeluruh.
Keupayaan itu dikatakan mampu mewujudkan perlindungan pertahanan udara jarak sederhana hingga jauh terhadap aset laut, termasuk kapal kelas Shahid Soleimani.
Latihan selama tiga hari yang bermula 16 Februari itu diadakan di laluan perairan strategik berkenaan, yang menjadi antara koridor transit tenaga terpenting dunia.
Pemerhati ketenteraan menyifatkan ujian tersebut sebagai sebahagian daripada usaha Teheran memperkukuh sistem pertahanan udara dan peluru berpandu bersepadu, khususnya di zon maritim sensitif.
Latihan itu turut berlangsung ketika ketegangan serantau meningkat susulan ancaman berulang Amerika Syarikat terhadap Iran berhubung isu program nuklear, dengan Teheran memberi amaran bahawa sebarang tindakan ketenteraan akan menerima tindak balas tegas. - Agensi