Kilang proses plastik haram diserbu babitkan rampasan RM3.37 juta

Iklan
Siasatan awal mendapati premis itu dijadikan lokasi pemprosesan bahan plastik serta penyimpanan tambahan sisa elektronik tanpa kelulusan JAS dan MPSP. Gambar kecil: Balveer

GEORGE TOWN – Sebuah kilang pemprosesan plastik tanpa kelulusan pihak berkuasa di Seberang Perai Selatan diserbu dengan rampasan dianggarkan bernilai RM3.37 juta.

Serbuan itu dibuat menerusi Op Hazard yang dilaksanakan dalam operasi bersepadu pada jam 11 pagi, 20 Februari lalu membabitkan beberapa agensi.

Iklan
Iklan

Agensi tersebut adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia Pulau Pinang, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibuoejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner M Balveer Singh berkata, operasi itu dilaksanakan hasil risikan berhubung sebuah premis yang disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan sisa plastik dan penyimpanan sisa elektronik (e-waste) tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Iklan

"Dalam serbuan tersebut, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang dipercayai pemilik premis.

"Pemeriksaan mendapati premis berkenaan memasang dan mengendalikan beberapa fasiliti pemprosesan plastik tanpa notifikasi serta kelulusan JAS," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, pasukan serbuan turut menemui sejumlah besar sisa elektronik yang disimpan dalam beg jumbo selain tong dram yang mengandungi cecair minyak tercemar.

"Siasatan awal mendapati premis itu dijadikan lokasi pemprosesan bahan plastik serta penyimpanan tambahan sisa elektronik tanpa kelulusan JAS dan MPSP.

"Premis berkenaan dipercayai mula beroperasi sejak awal tahun 2025 dengan mendapatkan bekalan sisa plastik daripada kilang-kilang semikonduktor di kawasan sekitar sebelum diproses menjadi bijian plastik untuk dieksport ke luar negara," ujarnya.

Tambahnya, antara barangan yang dirampas termasuk pelbagai fasiliti dan mesin pemprosesan plastik buangan, tujuh beg jumbo berisi bahan disyaki sisa elektronik, 20 beg jumbo mengandungi sisa campuran elektronik dan besi buruk, 32 tong dram besi kosong serta sebuah tong dram berisi cecair minyak tercemar.

"Kes diserahkan kepada JAS Pulau Pinang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, serta denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas notis dikeluarkan," katanya.

Menurutnya, dalam masa sama, MPSP mengeluarkan notis pemberhentian aktiviti perkilangan dan mengenakan kompaun RM500 kepada pengurus premis.

"Tindakan penguatkuasaan akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pemprosesan dan penyimpanan buangan terjadual tanpa kelulusan sah kerana berisiko menjejaskan alam sekitar serta keselamatan awam.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pencemaran alam sekitar atau pengendalian buangan terjadual tanpa lesen diminta menyalurkan maklumat kepada Briged Utara PGA untuk tindakan segera," katanya.