SHAH ALAM – Seorang lelaki warga emas ditahan selepas disyaki mengaku dirinya sebagai Rasul dalam satu serbuan di sebuah premis di Rawang pada Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, lelaki berusia 65 tahun itu ditahan bersama tiga individu lain iaitu dua lelaki dan seorang wanita dalam operasi dijalankan di premis sama.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati individu itu mengaku kepada pengikutnya bahawa pernah bertemu Nabi Adam AS secara nyata pada waktu siang dan bertemu Nabi Muhammad SAW dalam bentuk cahaya pada waktu malam.
“Dia juga mendakwa bertemu para Rasul sebanyak dua hingga tiga kali dalam tempoh seminggu. Kejadian ini berlaku antara dua hingga tiga tahun lalu di sebuah taman negara di negara ini.
"Pengikutnya menyatakan bahawa individu tersebut adalah utusan ALLAH dan segala perlakuannya dianggap oleh pengikut sebagai suruhan ALLAH seperti tidak perlu solat atau berpuasa jika berasa letih dan uzur," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mohd Shahzihan berkata, JAIS menjalankan siasatan dan tangkapan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak.
"Kes tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 8 enakmen sama kerana disyaki mengisytiharkan dirinya sebagai Rasul serta mendakwa dirinya mengetahui suatu perkara yang di luar pemahaman dan pengetahuan manusia," ujarnya lagi.
Menurut Mohd Shahzihan, dengan tangkapan itu, pihaknya percaya telah menyelesaikan satu aduan yang tular pada 9 Februari lalu berkaitan dakwaan seorang individu mengaku sebagai Rasul dan mempengaruhi ahli keluarganya.
"Sehubungan itu, satu pasukan khas dari Ibu Pejabat JAIS telah diarah serta-merta bagi menyiasat secara terperinci perkara tersebut yang telah berjaya membawa kepada tangkapan empat individu disyaki," tambah beliau.