KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menyediakan lebih 2,000 tapak bazar Ramadan di seluruh negeri ini dengan kadar sewa bermula RM60 sehingga RM550.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, variasi harga mengikut lokasi strategik serta kemudahan yang disediakan.
"Kadar paling rendah RM60 ditawarkan bagi tapak luar di Beris Kubor Besar di bawah seliaan Majlis Daerah Bachok (MDB).
"Sebanyak 147 tapak ditawarkan oleh MDB dengan kadar RM150 di lokasi tumpuan termasuk Pantai Irama dan Pasar Jelawat," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata, kadar tertinggi sewa direkodkan di bawah pentadbiran Majlis Daerah Pasir Puteh iaitu RM550 bagi tapak di Bandar Pasir Puteh melibatkan 150 lot.
Katanya, ia diikuti Majlis Daerah Kuala Krai yang menetapkan kadar RM500 bagi 96 tapak di Dataran KK Square.
"Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam muncul PBT yang menyediakan jumlah tapak paling banyak iaitu 779 lot di lima lokasi utama termasuk Pasar Ketereh, Melor, Kok Lanas, Peringat dan Mulong dengan kadar sekitar RM300 seunit.
"Sementara itu, Majlis Daerah Machang menawarkan 261 tapak dengan kadar RM400 di Machang, manakala beberapa lokasi lain seperti Labok, Temangan, Pulai Chondong dan Banggol Judah hanya RM100," katanya.
Hilmi berkata, Majlis Daerah Tumpat pula menyediakan 274 tapak dengan kadar antara RM90 hingga RM500 selain bayaran lesen RM50.
"Di pedalaman, Majlis Daerah Gua Musang menawarkan 160 tapak pada kadar RM250, manakala Majlis Daerah Jeli menyediakan 172 tapak (RM90–RM150) dan Majlis Daerah Dabong 95 tapak pada kadar RM210.
"Bagi Majlis Daerah Pasir Mas, sebanyak 165 tapak ditawarkan dengan kadar RM350 di Bandar Tasek Raja dan RM250 di Tendong," katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri menekankan supaya kadar sewaan ditetapkan pada tahap berpatutan agar tidak membebankan peniaga, selain memastikan pengurusan bazar Ramadan berjalan lancar dan tersusun.