KTMB berkas lelaki cuba curi kabel di laluan Kempas Baru–Kulai

Iklan
Anggota polis bantuan menangkap seorang lelaki yang disyaki mencuri kabel di Kempas Baru-Kulai - Foto: KTMB

JOHOR BAHRU - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berjaya menggagalkan cubaan mencuri kabel sepanjang kira-kira 250 meter di laluan Kempas Baru–Kulai di sini hasil tindakan pantas Pasukan Polis Bantuan (PB) syarikat itu lewat malam Jumaat.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan bahawa pada jam 8.50 malam, Pusat Kawalan Tren menerima maklumat berhubung gangguan sistem persemboyanan di jajaran berkenaan sebelum Pasukan PB diarahkan menjalankan rondaan serta pemeriksaan segera di lokasi terlibat.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, sekitar jam 11.30 malam, anggota bertugas mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di Kilometer 728.25 antara laluan tersebut.

"Suspek dipercayai sedang melakukan aktiviti memotong kabel sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota keselamatan.

Iklan

“Bagaimanapun, hasil tindakan pantas dan cekap anggota PB, suspek berjaya ditahan pada jam 11.47 malam,” menurut kenyataan itu.

KTMB memaklumkan, pemeriksaan lanjut mendapati kabel jenis empat teras telah dipotong di kawasan berkenaan.

Iklan

Anggota PB turut menemukan beberapa beg berisi peralatan pemotong kabel yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu dan ditinggalkan berhampiran lokasi kejadian.

Suspek kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk siasatan lanjut.

"Semakan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai 28 rekod jenayah lampau," ujarnya.

Menurut KTMB, perbuatan menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api ialah satu kesalahan serius mengikut Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Akta berkenaan memperuntukkan tindakan tegas termasuk denda, penjara atau kedua-duanya terhadap pesalah yang disabitkan kesalahan.