KUALA LUMPUR - Polis akan merakam keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki yang dilaporkan sebuah media antarabangsa.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan telah dibuka dan pihaknya menjalankan siasatan termasuk mengambil keterangan daripada pihak yang berkaitan.
"Insya-ALLAH perkembangan dikemas kini dari masa ke masa dan kertas siasatan akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Yayasan Seri Negara dan Penyerahan Zakat Wakalah PBLT Sdn Bhd di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras hari ini.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M Kumar berkata siasatan kes itu dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu memfitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Azam sebelum ini berkata tidak lagi memiliki sebarang saham di mana-mana syarikat dan semua urus niaga sebelum ini dijalankan dengan telus serta mematuhi sepenuhnya peraturan kerajaan, selain memaklumkan akaun dagangannya kini kosong yang boleh disahkan dengan Bursa Malaysia. - Bernama