TAIPEI - Seorang jutawan berusia 102 tahun 'dilarikan' dari hospital oleh anak-anaknya setelah dia berkahwin secara rahsia dengan penjaganya yang jauh lebih muda.
'Misi menyelamat' taikun di Taiwan itu dilancarkan setelah anaknya mendapati dia telah memindahkan aset mewah kepada isteri baharunya hingga mencetuskan perang keluarga yang agak tegang.
Ketika kejadian itu, Wang yang berkerusi roda baru selesai bertemu doktor di sebuah hospital di daerah Zhongshan, Taipei dan ditolak isterinya, Lai, 68, pada awal bulan lalu.
Tiga anak lelakinya bersama isteri masing-masing dan anak mereka dikatakan sudah sedia menunggu di pintu masuk.
Babak dramatik itu bermula apabila mereka menyerbu pasangan tersebut sebelum 'melarikan' Wang.
Pergelutan yang tercetus antara mereka turut menyebabkan Lai cedera.
Insiden itu bagaimanapun memaksa campur tangan pihak berkuasa yang akhirnya membongkar kisah sebenar di sebalik tindakan tersebut.
Menurut siasatan awal, Wang mendaftarkan perkahwinan bersama Lai tanpa pengetahuan anak-anaknya pada 5 Januari lalu.
Ahli keluarganya mendakwa mereka dilarang untuk melawat Wang selain tidak membenarkan mereka menghubunginya.
"Wang telah memindahkan tujuh bidang tanah dan polisi insurans premium kepada Lai dan anaknya yang bernilai kira-kira NT$200 juta (RM25 juta)," menurut jurucakap pihak berkuasa.
Nilai aset kekayaannya dianggarkan berjumlah antara NT$681 juta (RM84 juta) hingga NT$796 juta (RM98 juta).
Status perkahwinan dan kesahihan pemindahan aset tersebut bakal ditentukan oleh mahkamah selepas Lai dan anak-anak Wang menuntut kes pertikaian itu diselesaikan melalui prosiding undang-undang. - Agensi