BENGKULU - Kes pembunuhan pegawai Satuan Pelayanan Pemenuhan Gizi (SPPG) di Bengkulu, Indo Melvi Yunadatia, 24, atau dikenali sebagai IMY, yang dipercayai dilakukan rakan sekerjanya, RPP, 25, atau R, didakwa berpunca daripada rasa sakit hati selepas ajakan untuk melakukan hubungan seks ditolak mangsa.
Memetik Bangkapos.com, mayat Melvi ditemukan di aliran Sungai Kampung Bahari, Kampung Melayu, Kota Bengkulu, pada Isnin sekitar jam 6 pagi.
Keluarga mangsa yang mengesyaki terdapat kejanggalan berhubung kematian berkenaan kemudian membuat laporan polis.
Susulan siasatan, pihak berkuasa menahan RPP yang dikenal pasti sebagai individu terakhir bersama mangsa sebelum kejadian.
Pada awalnya, RPP mendakwa dia bertindak membunuh Melvi kerana berang selepas sering diejek sebagai berkulit hitam oleh mangsa sejak zaman sekolah menengah.
Kedua-duanya difahamkan pernah bersekolah di tempat yang sama sebelum bekerja bersama di SPPG Padang Serai.
RPP bekerja sebagai pengawal keselamatan, manakala Melvi merupakan sukarelawan program Makan Bergizi Gratis (MBG).
Dalam satu video, RPP mendakwa ejekan mengenai warna kulit itu berlaku sejak mereka di bangku sekolah sehingga kedua-duanya bekerja di tempat sama.
“(Membunuh) kerana mengejek hitam terus, dari SMP. Sampai tempat kerja,” katanya dalam video yang dipetik TribunBengkulu.com pada Jumaat.
Bagaimanapun, motif pembunuhan itu kemudian didakwa mempunyai kaitan dengan penolakan ajakan hubungan seks oleh mangsa.
Menurut pengakuan RPP dalam video berkenaan, rasa sakit hati yang dipendam selepas penolakan tersebut akhirnya bertukar menjadi dendam.
RPP turut mengaku membunuh Melvi dengan cara membekap mulut mangsa. Mayat mangsa turut dicampak dalam sungai dan suspek meletakkan batu dalam baju supaya mayat tidak timbul ke permukaan.