SANAA - Ketegangan antara Arab Saudi dan kumpulan Houthi di Yemen semakin memuncak apabila kumpulan itu mendakwa Riyadh melancarkan 26 serangan udara terhadap kawasan di bawah kawalannya dalam tempoh 24 jam.
Houthi turut mendakwa Riyadh melancarkan kira-kira 300 serangan udara terhadap kedudukannya sepanjang minggu lalu.
Konflik berkenaan kini dilaporkan mula merebak ke ibu kota Saudi, sekali gus meningkatkan ketegangan di rantau tersebut.
Letupan kedengaran di Riyadh pada awal pagi Sabtu selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran serangan udara pertama sejak pertempuran kembali tercetus di Yemen.
Penduduk di bandar terlibat turut menerima mesej amaran kira-kira jam 3 pagi (waktu tempatan) yang memaklumkan kawasan ibu kota berdepan ancaman udara dan diarahkan supaya kekal berada di dalam rumah.
Amaran itu yang dikeluarkan beberapa kali di beberapa bandar termasuk Jeddah, Al-Kharj, AlUla, Yanbu, Taif, Abha Farasan, Khamis Mushait, dan Jazan bagaimanapun ditarik balik selepas keadaan kembali terkawal.
Menurut saksi, beberapa bunyi dentuman kedengaran di ruang udara ibu kota yang dipercayai berpunca daripada tindakan menangkis ancaman udara.
Penduduk turut dinasihatkan supaya mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa supaya tidak merakam atau mengambil gambar di kawasan terjejas.
Pada Jumaat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan pertempuran sengit di Yemen menyebabkan lebih 112,000 penduduk kehilangan tempat tinggal manakala hampir 3,000 lagi melarikan diri melalui laut ke Djibouti.
Pada 2025, data agensi itu menunjukkan kira-kira 17 juta penduduk di Sanaa berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan makanan manakala sejuta lagi berdepan kebuluran teruk.
Situasi di Asia Barat terus meruncing setelah Houthi melancarkan serangan pantas untuk menguasai keseluruhan pantai Laut Merah bagi membolehkan kumpulan berkenaan mengawal Selat Bab al-Mandab.
Proksi Iran itu turut mengisytiharkan sekatan maritim terhadap Saudi yang sebelum ini menggunakan laluan berkenaan sebagai alternatif kepada penutupan Selat Hormuz bagi mengeksport minyak.
Houthi menegaskan mana-mana kapal bebas menggunakan laluan melalui selat berkenaan kecuali milik Riyadh. - Agensi