FIRMAN ALLAH dalam Surah Al-Taubah ayat 18 bermaksud: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid ALLAH itu ialah orang-orang yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada ALLAH, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”
Dalam sirah Islam, masjid mempunyai kedudukan yang tinggi. Masjid merupakan rumah ibadah bagi umat Islam untuk melaksanakan solat serta lain-lain ibadat termasuk majlis ilmu, pusat pentadbiran dan musyawarah dan sebagainya. Masjid menjadi institusi yang benar-benar berfungsi dalam masyarakat.
Ketika Rasulullah SAW dan para sahabat berhijrah dari Makkah ke Madinah, Baginda SAW terlebih dahulu mendirikan Masjid Quba’ iaitu masjid terawal yang telah dibina pada zaman Baginda.
Begitu juga ketika sampai di Madinah, Baginda telah membangunkan Masjid Nabawi. Ini memberikan isyarat kepada kita bahawa masjid merupakan institusi penting dalam masyarakat.
Masjid merupakan institusi terpenting dalam kehidupan umat Islam. Kewujudan masjid menjadi tempat penyatuan umat Islam di sesebuah kariah. Apabila tibanya kunjungan bulan Ramadan yang mulia, pengimarahan masjid begitu meriah oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Institut masjid dan Ramadan
Pada 14 Februari 2025 lalu, Jakim telah melancarkan program Ihya’ Ramadhan Peringkat Kebangsaan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Majlis Ihya’ Ramadhan peringkat kebangsaan ini adalah sebagai platform rasmi kepada pengimarahan bulan Ramadan yang dianjurkan Jakim dengan kerjasama agensi-agensi Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri.
Selain itu, JAKIM juga akan turut mengadakan Majlis Iftar Madani bersama Perdana Menteri melibatkan seluruh masyarakat di pelbagai peringkat pada 22 Februari 2026 bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan.
Masjid telah dipilih sebagai lokasi acara sebagai usaha memasyarakatkan masjid sebagai institusi yang menyebarkan rahmah, damai serta memperkukuh nilai ihsan dalam komuniti.
Pada tahun ini, Jakim bersama agensi-agensi Hal Ehwal Agama akan melebarkan penganjuran Iftar Ramadhan Madani di peringkat negeri bagi menyantuni masyarakat di peringkat akar umbi.
Program ini turut melibatkan kerjasama pihak berkuasa agama Islam negeri, masjid negeri/kariah dan Sekretariat Dakwah Korporat, Jakim.
Sepanjang bulan Ramadan ini, seperti kebiasaan khususnya di tiga masjid utama Jakim iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya menjalankan aktiviti pengimarahan secara rutin di bulan Ramadan dengan mengadakan majlis berbuka puasa, solat tarawih, tadarus al-Quran, iktikaf, qiamullail dan majlis penghayatan Nuzul Quran.
Ia akan turut diperhebatkan dengan kempen penghayatan ibrah Ramadan melalui media sosial.
Belia dan masjid
Hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan jawatankuasa belia di peringkat masjid sememangnya dilihat sebagai satu langkah penting dalam usaha meremajakan institusi masjid agar terus relevan, dinamik dan dekat dengan generasi muda.
Penglibatan belia dalam pengimarahan masjid bukan sahaja dapat memastikan kesinambungan peranan masjid sebagai pusat pembangunan ummah, malah mampu membentuk generasi pelapis yang mempunyai jati diri, kefahaman agama yang kukuh serta keupayaan memimpin masyarakat pada masa hadapan.
Jakim bersama rakan strategik khususnya Kementerian Belia dan Sukan mengambil langkah proaktif dengan merancang penubuhan Jawatankuasa Khas Rakan Muda Masjid sebagai satu mekanisme memperkasa peranan belia secara lebih tersusun dan berfokus.
Inisiatif ini bertujuan melahirkan golongan belia yang seimbang dari aspek sahsiah, rohani, intelektual dan sosial dengan menjadikan masjid sebagai platform pembangunan kepimpinan dan kesukarelawanan, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani serta hasrat kerajaan untuk memartabatkan institusi masjid sebagai pusat komuniti yang inklusif dan progresif.
Sebagai langkah awal merealisasikan aspirasi ini, program Rakan Masjid dan Rakan Muda Ramadan telah disempurnakan peluncurannya pada 16 Februari oleh Menteri Belia dan Sukan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Ia adalah langkah strategik untuk meremajakan pendekatan pengimarahan masjid di seluruh negara.
*Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee ialah Ketua Pengarah Jakim