Kompas kestabilan rakyat

Iklan
Keputusan rakyat dalam PRU15 memaksa parti-parti politik belajar bahasa rundingan, kompromi dan tanggungjawab bersama. Gambar hiasan

POLITIK, dari pemain hingga penyokong sentiasa suka kepada drama. Kita cepat teruja dengan gegaran, gemar membesarkan konflik, dan sering menyamakan kebisingan dengan keberanian.

Dalam suasana itulah, kadang-kadang kestabilan dilihat sebagai membosankan, seolah-olah tiada nilai berita. Namun perlu diingat dalam sejarah negara bangsa, yang membina bukanlah gegaran. Yang membina ialah kestabilan.

Iklan
Iklan

Dalam tulisan lepas, kita berbicara tentang jurang antara ideal dan realiti.

Tentang bagaimana kepelbagaian yang menjadi takdir sejarah Malaysia hanya akan menjadi rahmat jika diurus dengan adab dan hikmah.

Iklan

Kita mengingatkan bahawa perbezaan tidak harus dijadikan pentas permusuhan.

Hari ini, setelah kita mengakui kepelbagaian sebagai amanah sejarah, ke mana arah tuju kita?

Iklan

Apakah kompas yang memandu nasionalisme Malaysia dalam landskap politik yang sudah berubah sama sekali?

Era dominasi tunggal 60 tahun lalu sudah berakhir. Keputusan rakyat dalam PRU15 memaksa parti-parti politik belajar bahasa rundingan, kompromi dan tanggungjawab bersama.

Kerajaan hari ini bukan terbentuk daripada kemenangan mutlak satu blok, tetapi daripada persetujuan pasca pilihan raya. Inilah realiti yang tidak boleh dinafikan.

Pengalaman lampau menunjukkan bahawa budaya dominasi tidak mudah berubah menjadi budaya kesepakatan.

Gabungan seperti Barisan Nasional sendiri melalui proses pembelajaran yang panjang. Kini struktur politik lebih kompleks dengan gabungan parti-parti politik dalam kerajaan perpaduan.

Tidak semua pihak selesa dengan perubahan ini. Tetapi inilah wajah demokrasi matang di mana kuasa tidak lagi tertumpu, sebaliknya diagih dan dirunding.

Masalahnya, kita masih berfikir dengan kerangka lama dalam sistem baharu.

Politik identiti masih menjadi alat untuk menggerakkan emosi. Isu tanah, rumah ibadat, bahasa, dan hak kaum sering ditarik ke gelanggang sentimen walaupun akar masalahnya kadangkala bersifat pentadbiran.

Dalam dunia media sosial, naratif yang paling tajam selalunya mengalahkan naratif yang paling benar.

Di sinilah muncul apa yang boleh disebut sebagai defisit kepercayaan terhadap institusi hingga kepimpinan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim misalnya, menjadi sasaran kritikan bertali arus. Setiap ucapan dipetik, disunting dan diulang tanpa konteks. Dalam era algoritma, persepsi bergerak lebih pantas daripada fakta.

Betul, kritikan adalah nadi demokrasi tetapi apabila ia bertukar menjadi pembingkaian sistematik untuk menghakis keyakinan, ia bukan lagi soal semak dan imbang sebaliknya psikologi kolektif.

Sebab itu kestabilan bukan isu teknikal. Ia isu strategik. Kita perlu berani mengalihkan perbualan nasional daripada keresahan identiti kepada patriotisme sejati secara bersama.

Bukan dengan menafikan kedudukan Melayu dan Islam, bukan dengan mengabaikan bahasa kebangsaan atau institusi Raja-Raja, tetapi dengan menegaskannya dalam kerangka Perlembagaan.

Bersatu di bawah Perlembagaan merupakan konsensus yang membolehkan semua pihak bergerak dengan yakin.

Nasionalisme baharu yang kita perlukan bukan nasionalisme takut, tetapi nasionalisme yakin. 

Melayu yang yakin. Cina yang yakin. India yang yakin. Bangsa yang yakin tidak perlu menjerit. Bangsa yang yakin tidak perlu memusuhi.

Bangsa yang yakin tidak mudah diprovokasi oleh tajuk sensasi atau video terpotong.

Perbezaan adalah asas demokrasi. Tetapi menjadikan perbezaan sebagai bahan bakar kemarahan tanpa memikirkan implikasi jangka panjang adalah perjudian berisiko tinggi.

Kita tidak boleh terus hidup dalam psikologi krisis sebegini. Kestabilan bukan milik kerajaan semata-mata. Kestabilan milik rakyat.

Kerajaan boleh menyediakan dasar yang tersusun, reformasi institusi, diplomasi aktif, pengurusan fiskal yang lebih berhati-hati. Tetapi rakyat yang menentukan sama ada ekosistem itu berkembang atau terbantut.

Dalam politik yang bising, mempertahankan kestabilan mungkin kelihatan sederhana. Tetapi dalam demokrasi baharu yang sedang matang, ia adalah tindakan yang paling berani.

Jarum kompas kita tidak boleh berubah-ubah setiap kali angin emosi bertiup.

Jika arah itu adalah kestabilan, keyakinan dan nasionalisme yang inklusif tetapi berakar, maka kita perlu berani mempertahankannya.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Putrajaya