TEHERAN - Iran memberi amaran tegas bahawa pangkalan tentera, kemudahan dan aset milik Amerika Syarikat (AS) berpotensi menjadi 'sasaran sah' jika Washington berdegil mahu melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Teheran.
Gertakan itu dibuat Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amir Saeid Iravani menerusi surat dihantar kepada Setiausaha Agung, Antonio Guterres dan Presiden Majlis Keselamatan PBB (UNSC).
Kandungan surat itu turut memetik catatan media sosial dikongsikan Presiden Donald Trump pada Rabu yang mahu menggunakan pangkalan tentera Britain untuk melancarkan serangan jika Teheran masih enggan membuat perjanjian.
"Kenyataan agresif sedemikian menandakan risiko sebenar pencerobohan ketenteraan yang boleh mencetuskan bencana lebih besar di Asia Barat dan mengancam keamanan serta keselamatan komuniti antarabangsa," tulis Iravani lagi.
Beliau menyatakan Iran komited terhadap penyelesaian diplomatik dan asas timbal balik untuk menangani kekeliruan tentang program nuklear mereka.
"Kami tidak akan memulakan sebarang peperangan selagi tidak diprovokasi oleh mana-mana pihak. Teheran hanya bertindak balas secara tegas untuk mempertahankan diri kami," tegasnya.
Ketegangan AS-Iran kembali memuncak selepas Trump memberi tempoh selama 10 hingga 15 hari kepada Teheran supaya memeterai perjanjian atau bakal berdepan akibat lebih dahsyat setelah rundingan pada awal minggu lalu gagal mencapai konsensus. - Agensi