TEHERAN – Beberapa imej satelit tersebar menunjukkan Iran sedang memperkukuh sebuah kompleks bawah tanah berhampiran salah satu tapak nuklearnya, menurut analisis imej satelit yang baharu.
Aktiviti itu berlaku ketika ketegangan meningkat di peringkat antarabangsa ketika rundingan antara pegawai Iran dan Amerika Syarikat yang masih berterusan dan berdepan ancaman tindakan ketenteraan baharu.
Imej-imej yang dianalisis oleh sebuah badan pemikir Amerika Syarikat, Institute for Science and International Security (ISIS) memperlihatkan pintu masuk terowong di bawah gunung dikenali sebagai Pickaxe Mountain sedang diperkuat dan dikukuhkan.
Pakar berpendapat, struktur itu mungkin direka untuk melindungi aktiviti pengayaan uranium Iran atau peralatan penting tetapi tujuan sebenar serta status operasinya masih belum jelas.
Gambar satelit bertarikh 10 Februari lalu tersebut memperlihatkan apa yang kelihatan seperti konkrit baharu diletakkan di atas salah satu pintu masuk terowong, lengkap dengan pam boom yang digunakan untuk mencurahkan konkrit itu, menurut dua firma analisis yang meneliti imej berkenaan.
Di pintu masuk lain pula, tanah dan batu telah ditolak dan diratakan serta sebuah struktur baru yang diperkuat dengan konkrit dibina berdekatan.
Penganalisis ISIS berkata, perubahan berkenaan menunjukkan usaha untuk memperkukuh pintu masuk terowong dan memberi perlindungan tambahan terhadap kemungkinan serangan udara.
Kegiatan jentera berat dan bahan binaan yang masih berlangsung memberi petanda bahawa kompleks itu masih belum siap sepenuhnya untuk operasi.
Imej-imej satelit juga mencatat kerja pembaikan dan pengukuhan sedang dijalankan di tapak nuklear Natanz serta kompleks nuklear Isfahan, kira-kira 125 kilometer di utara.
Di Isfahan, semua pintu masuk ke kompleks terowong kini kelihatan ditimbus dengan tanah, dipercayai bertujuan untuk mengurangkan impak serangan udara atau serangan darat untuk merampas atau memusnahkan uranium diperkaya tinggi yang mungkin berada di dalam.
Selain itu, di lokasi tapak nuklear Isfahan, satu bumbung baru telah dibina di atas bangunan yang diserang dalam serangan Israel tahun sebelumnya.
Di Natanz juga, kerja di permukaan menunjukkan sebuah bumbung baru dibina di atas sangkar antidrone yang rosak antara awal Disember dan Januari lalu.