Impian di balik tirai besi, perjalanan PhD seorang banduan

Iklan
Malik menerima perkenan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin.

KUALA LUMPUR - Selama lebih dua dekad menjalani hukuman sebagai banduan Tahanan Limpah Sultan (TLS) tanpa kepastian sama ada akan dibebaskan ataupun sebaliknya, lelaki ini tidak pernah membayangkan dirinya akan melangkah keluar dari penjara dengan gelaran 'Doktor'.

Bagi Dr Malik Yatam, ketidakpastian tarikh pembebasannya bukanlah titik noktah atau penghalang untuk melakar masa depan, sebaliknya ia menjadi titik tolak bagi membuktikan tirai besi bukan penghalang untuk bermimpi besar, sekali gus mencipta sejarah sebagai banduan pertama di negara ini yang berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) ketika masih menjalani hukuman penjara.

Iklan
Iklan

Biarpun begitu, lelaki Kadazan dari Sabah itu mengakui perjalanan merealisasikan impian tersebut bukannya mudah. Malah hasratnya itu sering dianggap mustahil sehingga menjadi bahan jenaka banduan lain yang mempersoalkan kewajarannya bersusah payah menyambung pengajian tanpa jaminan kebebasan.

 "Bagi saya, ilmu bukan sekadar untuk dunia. Walaupun tidak tahu akan bebas atau tidak, saya percaya ilmu itu untuk dibawa hingga ke akhirat,” katanya.

Iklan

Berkongsi kisah semasa menjadi tetamu  program Suara Alfa bertajuk ‘Menyalakan Cahaya Ilmu di Sebalik Tirai Besi’ terbitan Bernama Radio di sini,  beliau berkata, impiannya untuk menyambung pelajaran berdepan pelbagai kekangan, termasuk ketiadaan peguam bagi menguruskan proses pendaftaran dan urusan akademik.

Berkali-kali permohonannya ditolak, namun Malik tidak berputus asa malah sanggup meminjam buku daripada rakan banduan dan belajar secara sendirian walaupun tanpa kepastian masa depan.

Iklan

Dipenjarakan pada usia 14 tahun pada 2001 atas kesalahan membunuh majikannya dan terlepas hukuman gantung kerana terlindung di bawah Akta Kanak-Kanak, Malik menghabiskan usia remajanya di sebalik jeriji besi hingga usia 39 tahun sebelum diberikan pengampunan diraja pada 11 Disember 2022 bersempena dengan Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Meninggalkan kampung halaman di Keningau untuk mencari rezeki di Kuala Lumpur demi membantu keluarga yang hidup dalam kemiskinan pada usia awal remaja, tawaran gaji RM800 sebulan di sebuah restoran di Sekinchan, Selangor kelihatan seperti sinar harapan.

Namun semuanya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila beliau menjadi mangsa eksploitasi dan penderaan tanpa menerima sebarang gaji.

Dalam keadaan terdesak untuk melarikan diri, tercetus satu pertengkaran yang tidak diduga dan berakhir dengan kematian majikannya sekali gus menyebabkannya dipenjarakan pada usia begitu muda sebagai banduan TLS. 

Mengakui terkurung di penjara pada usia muda membuatkan beliau terasa kosong seolah-olah dunia gelap dan tiada lagi ruang untuk memasang impian sementelah lagi tiada tarikh pembebasan ditetapkan, Malik berkata, pertemuannya dengan seorang pegawai juvenil mengubah segalanya.

Membuka perspektif baharu dan mengubah pandangannya yang sebelum ini kabur serta jauh daripada realiti, Malik yang mendewasa di Penjara Kajang, memanjatkan kesyukuran apabila hasratnya menyambung pelajaran mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Penjara.

Ditaja pengajiannya oleh aktivis terkemuka di sebalik Yayasan Chow Kit, Datuk Dr Hartini Zainuddin, Malik kini menjadi contoh serta motivasi kepada prospek penjara lain untuk melanjutkan pelajaran.

"Insya-ALLAH saya boleh turunkan atau ajar kepada prospek lain dengan harapan apabila mereka berubah dan mereka keluar (dibebaskan), mereka akan berbakti kepada masyarakat.

"Saya berharap itu menjadi antara sumbangan saya kepada masyarakat. Ia juga menjadi motivasi untuk saya kuat dalam menepis pelbagai cabaran dan dugaan dan memberi semangat kepada saya,” katanya.

Segala usaha, kejerihan dan kesedihan yang dilaluinya nyata tidak sia-sia, dan Malik kini mampu tersenyum bangga selepas berjaya mengusahakan ladang cili di Selangor bersama-sama dengan beberapa bekas banduan lain, sekali gus merealisasikan impiannya membebaskan keluarga daripada belenggu kemiskinan.

Malik menduduki SPM pada usia 21 tahun diikuti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) setahun kemudian sebelum mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi yang ditamatkan dengan PhD dalam jurusan pentadbiran perniagaan daripada Open University Malaysia (OUM), dengan disertasi mengenai kemahiran keusahawanan banduan, satu perjalanan ilmu yang bermula dari balik tirai besi. - Bernama