KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu memberi ruang kepada proses siasatan berhubung isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Persatuan Bekas Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (PBPSPRM) menerusi kenyataan memaklumkan isu berkenaan wajar diteliti melalui mekanisme siasatan yang telah ditubuhkan kerajaan tanpa sebarang prejudis.
"Malaysia berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang. Tiada siapa kebal daripada siasatan dan dalam masa sama, tiada siapa boleh dihukum tanpa proses sewajarnya.
"Kami menyokong penubuhan jawatankuasa khas bagi meneliti isu ini secara bebas dan telus. Adalah wajar untuk memberi ruang dan masa kepada proses tersebut berjalan,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
PBPSPRM turut menjelaskan bahawa pemilikan saham oleh pegawai awam bukan kesalahan jenayah kolar putih, sebaliknya tertakluk kepada peraturan pentadbiran termasuk pengisytiharan aset dan had pemilikan tertentu berdasarkan garis panduan perkhidmatan awam.
Menurut kenyataan itu, pengisytiharan aset dibuat melalui saluran rasmi kepada pihak berautoriti dan bukan untuk tatapan umum.
"Dalam kes ini, pegangan saham tersebut telah diisytiharkan melalui saluran rasmi kerajaan dan kini telah dilupuskan.
"Sehingga kini, tiada bukti yang menunjukkan wujud penyalahgunaan kuasa, campur tangan dalam siasatan atau keuntungan diperoleh melalui kedudukan rasmi," katanya.
PBPSPRM turut menegaskan kepentingan membezakan antara pelanggaran prosedur pentadbiran dan kesalahan jenayah rasuah agar tidak timbul salah tafsir dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, isu yang dibincangkan lebih menjurus kepada konflik persepsi dan bukan konflik sebenar yang disokong bukti.
Pada masa sama, PBPSPRM berpandangan SPRM perlu terus berfungsi sebagai institusi bebas dan profesional dalam memerangi rasuah tanpa tekanan luar.
"Kritikan adalah sebahagian daripada amalan demokrasi, namun ia perlu berlandaskan fakta dan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan,” jelas kenyataan itu lagi.
Sebelum ini, agensi berita Bloomberg dalam laporannya mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam ketika sidang media baru-baru ini menegaskan, pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.