BAITULMAQDIS - Israel kembali mengenakan sekatan ketat ke atas penduduk Palestin sepanjang bulan Ramadan.
Pada Rabu, ia mengumumkan jumlah jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di pekarangan Masjid al-Aqsa (Haram al-Sharif) akan dihadkan kepada 10,000 orang.
Penduduk Palestin dari Tebing Barat itu juga dikehendaki mendapatkan permit terlebih dahulu.
Badan mengawasi hal ehwal awam dan kemanusiaan (COGAT) di bawah Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan, langkah itu kononnya diluluskan kepimpinan politik selepas penilaian keselamatan.
Menurutnya, hanya lelaki berusia 55 tahun ke atas dan wanita berumur 50 tahun ke atas serta kanak-kanak diberi akses untuk memasuki Haram al-Sharif.
Sementara itu, pentadbir Baitulmaqdis mendakwa, pihak berkuasa Israel menghalang Wakaf Islam yang dilantik Jordan untuk menguruskan al-Aqsa daripada membuat beberapa persediaan termasuk memasang ruang teduh untuk para jemaah dan klinik sementara sempena Ramadan.
Imam kanan, Sheikh Muhammad al-Abbasi berkata, dia juga dilarang memasuki Haram al-Sharif tanpa sebab jelas.
“Larangan itu dikenakan sejak seminggu lalu dan mungkin akan berlanjutan,” ujarnya dalam nada kesal.
Di tengah-tengah situasi tidak menentu di wilayah Palestin, pelampau Yahudi pula mengancam untuk melakukan kempen pencerobohan baharu ke atas al-Aqsa.
Rancangan biadab itu diumumkan menerusi catatan di media sosial yang jelas sengaja memprovokasi penduduk Palestin.
Menerusi perkongsian itu, puak ekstremis itu merancang mahu menceroboh tapak suci tersebut selama lima jam sehari kecuali pada Jumaat dan Sabtu bermula jam 6.30 pagi (waktu tempatan).
Ancaman itu dibuat selepas Zionis meningkatkan tahap amaran keselamatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sempena Ramadan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai golongan ultranasionalis Yahudi mencabar larangan pelaksanaan upacara keagamaan di Masjid al-Aqsa sebagaimana yang ditetapkan di bawah status quo.
Antara pemimpin ‘ekstremis’ yang paling galak dan kerap mencetuskan provokasi melampau ialah Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir.
Sejak beberapa minggu lalu, jumlah penduduk Palestin yang ditahan dan diusir di Kota Lama tersebut juga dilaporkan kian meningkat ketika rejim Tel Aviv meneruskan pelan jahat secara agresif mahu mengilhak Tebing Barat. - Agensi