LEBIH 100 bot nelayan serta kira-kira 100 bot pelancong terjejas susulan keadaan muara Sungai Merang di Setiu, Terengganu yang semakin cetek yang berlarutan sejak 20 tahun lalu.
Situasi itu juga menyebabkan nelayan lima kampung iaitu Kampung Telaga Papan, Merang, Batu Rakit, Pengkalan Atap dan Pagar Besi sukar menggerakkan bot ke laut setiap kali air surut, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Seorang nelayan, Muhamid Ismail, 75, dari Kampung Pagar Besi berkata, keadaan muara tahun ini adalah yang paling buruk sepanjang lebih 50 tahun turun ke laut.
“Saya mula turun ke laut sejak umur 18 tahun, sekarang sudah 75 tahun. Kawasan ini makin cetek dan tahun ini paling teruk.
“Kadang-kadang kena tolak bot sampai tiga kali di tiga tempat berbeza, baru boleh lepas. Terpaksa tunggu air pasang berjam-jam sebelum boleh keluar,” katanya.
Menurutnya, nelayan kini terpaksa menunggu air pasang terlebih dahulu sebelum dapat melepasi laluan tersebut.
Seorang lagi nelayan, Madan Che Mat, 65, dari Kampung Gong Tengah, Merang berkata, usaha mendalamkan kawasan itu pernah dilakukan secara manual sebelum ini.
“Empat atau lima tahun lalu, kami korek guna cangkul untuk dalamkan kawasan ini. Sekarang guna jengkaut, tetapi pasir di sini tidak kekal lama.
“Tak sampai setahun, kawasan ini akan tertimbus semula dan terus tidak boleh dilalui. Kalau tak segera korek, biasanya bulan lima atau enam muara akan tertutup sepenuhnya,” ujarnya yang menjadi nelayan sejak usia 16 tahun.
Pengusaha bot pelancong, Muhammad Kamal Dolah, 43, pula berkata, masalah air cetek menyebabkan bot hanya dapat keluar lewat pagi untuk membawa pelancong ke Pulau Redang, Lang Tengah atau Pulau Perhentian.
“Pelanggan merungut kerana bot tidak dapat keluar awal. Kadang-kadang jam 10 pagi baru boleh bergerak disebabkan air surut dan muara cetek.
“Bukan tiada usaha untuk dalamkan muara ini. Sebelum ini ada usaha korek pasir dan angkut ke Mengabang Telipot dan Batu Rakit, tetapi ombak membawa semula pasir ke kawasan ini,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu turut menyebabkan kos penyelenggaraan bot meningkat apabila kipas bot yang rosak perlu diganti dengan kos sekurang-kurangnya RM600, manakala kerosakan kotak gear boleh mencecah lebih RM1,000.
Kerajaan lulus RM100,000
Sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja pemuliharaan muara Sungai Merang yang semakin cetek sehingga menyukarkan pergerakan bot nelayan dan pengusaha bot pelancong di Merang, Setiu.
Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, peruntukan segera itu diluluskan minggu lalu dan kerja pemuliharaan telah dan akan dimulakan segera.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu bertanggungjawab melaksanakan kerja mendalamkan serta memperluaskan muara bagi memastikan laluan keluar masuk bot selamat digunakan.
“Proses pemuliharaan ini merangkumi penggalian untuk mendalamkan dan memperluaskan laluan muara yang sebelum ini semakin cetek sehingga menyukarkan pergerakan bot,” katanya ketika ditemui di sini.
Hanafiah berkata, kerja-kerja berkenaan diharap dapat memberi penyelesaian jangka panjang bagi mengekalkan sumber pendapatan nelayan serta pengusaha bot pelancongan di kawasan itu.