'Sel penyengat masih aktif' - Orang ramai diingatkan tidak sentuh ubur-ubur terdampar

Iklan
Ubur-ubur beracun itu ditemukan terdampar di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan pelancong termasuk Pantai Pandak, Cendering dan Pantai Paka, Dungun.

KUALA NERUS - Orang ramai diingatkan supaya tidak menyentuh ubur-ubur beracun yang dilihat terdampar di pesisir beberapa pantai di negeri ini.

Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Rosmawati Md Amin berkata walaupun sudah terdampar dan terpisah dari koloni asal, spesies yang dikenali sebagai Portuguese Man of War itu memiliki ribuan sel penyengat yang masih aktif pada tentakelnya.

Iklan
Iklan

Justeru, beliau berkata tanggapan bahawa ubur-ubur itu tidak berbahaya walaupun sudah mati dan terdampar adalah tidak tepat.

"Walaupun kelihatan seperti plastik berwarna biru dan tidak bergerak, sel penyengatnya masih aktif dan boleh melepaskan toksin apabila disentuh.

Iklan

"Sengatannya boleh menyebabkan kesakitan teruk dan simptom lain seperti pening, sakit badan, serta gangguan pernafasan. Dalam situasi tertentu, sengatan boleh menyebabkan kesan alahan yang teruk dan mangsa perlu segera dibawa ke hospital," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan dengan itu, Roswati menasihatkan orang ramai supaya memakai kasut atau selipar ketika berjalan di tepi pantai.

Iklan

Spesies yang turut dikenali sebagai ubur-ubur api ini lazimnya banyak terdampar di pesisir Pantai Timur, terutama Terengganu pada musim Monsun Timur Laut (MTL) disebabkan tiupan angin dan arus laut.

"Penggunaan cuka untuk meredakan kesakitan mangsa disengat masih menjadi isu debatan dan hanya sesuai untuk sesetengah spesies. Namun, air suam adalah antara rawatan yang disarankan bagi melegakan atau mengurangkan kesakitan.

"Bagi nelayan atau individu yang menjalankan aktiviti menangkap ikan juga perlu berhati-hati mengendalikan ubur-ubur yang terperangkap pada pukat," katanya.

Beberapa hari lepas, ubur-ubur beracun itu ditemukan terdampar di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan pelancong termasuk Pantai Pandak, Cendering dan Pantai Paka, Dungun.

Hidupan hidrozoa marin itu mudah dikenali dengan warna kebiruan lutsinar, bergelembung pada bahagian atas dan bersaiz kecil antara dua hingga 10 sentimeter. - Bernama