Indonesia tolak bantuan beras diaspora Aceh di Malaysia

Iklan
TITO

Cadangan tersebut tidak dipersetujui kerana kerajaan berpandangan bekalan beras dalam negara adalah mencukupi.

JAKARTA – Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavianmenolak cadangan penghantaran bantuan beras daripada diaspora Aceh di Malaysia kepada mangsa banjir dan tanah runtuh di wilayah itu dengan alasan Indonesia kini telah mencapai tahap tinggi dalam pengeluaran beras.

Menurut laporan Kompas.com, Tito berkata, pada peringkat awal komuniti diaspora Aceh di Malaysia berhasrat menghantar beras sebagai sebahagian daripada bantuan kemanusiaan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, cadangan tersebut tidak dipersetujui kerana kerajaan berpandangan bekalan beras dalam negara mencukupi dan tidak memerlukan import tambahan.

Beliau menjelaskan perkara itu ketika menghadiri mesyuarat bersama Pasukan Petugas Pemulihan Pascabencana di bangunan DPR di Jakarta, Rabu.

Iklan

Menurutnya, bantuan dalam bentuk lain adalah lebih sesuai memandangkan keperluan semasa mangsa bencana lebih menjurus kepada barangan keperluan harian selain beras.

Tito turut memaklumkan bahawa diaspora Aceh di Malaysia telah mengumpulkan pelbagai jenis bantuan dengan nilai keseluruhan yang besar, termasuk minyak masak, gula pasir, air mineral, makanan siap saji, pakaian baharu, al-Quran serta kemudahan tandas.

Iklan

Namun, kesemua barangan berkenaan masih 'ditahan' di Pelabuhan Port Klang, sementara menunggu proses kelulusan dan pematuhan terhadap peraturan import Indonesia.

Menurut beliau, kemasukan barangan tertentu seperti minyak masak dan gula pasir memerlukan surat kelulusan daripada kementerian teknikal berkaitan, khususnya Kementerian Pertanian, bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan dasar perdagangan dan perlindungan industri tempatan.

Dalam masa yang sama, nilai pakaian baharu yang tinggi turut menimbulkan keperluan untuk penelitian lanjut supaya tidak menjejaskan pengeluar dalam negara.

Walaupun berdepan kekangan prosedur, Tito memohon agar bantuan tersebut dapat dipertimbangkan sewajarnya demi menjaga hubungan baik dengan diaspora Aceh di luar negara.

Beliau menegaskan bahawa sumbangan itu merupakan inisiatif komuniti dan keluarga diaspora sendiri, bukannya daripada kerajaan asing atau pertubuhan bukan kerajaan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa sekiranya bantuan itu diluluskan untuk masuk ke Indonesia, pihak berkuasa termasuk tentera dan polis akan memantau pengagihannya secara rapi supaya ia disalurkan terus kepada mangsa di pusat pemindahan sementara dan tidak disalahgunakan.

Tito juga menyatakan kesediaannya untuk bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang penyelewengan dalam proses pengagihan tersebut.- Agensi