JURUSALEM-Tentera dan Kementerian Luar Israel memuat naik ucapan 'Ramadan Kareem' kepada umat Islam melalui media sosial mereka ketika operasi ketenteraan di wilayah Palestin terus dipertingkatkan sepanjang bulan suci itu.
Ucapan tersebut dimuat naik di platform X oleh akaun rasmi tentera Israel, disertakan imej tanglung tradisional dengan kaligrafi Arab yang melambangkan permulaan Ramadan, yang dijangka bermula pada Rabu, Khamis atau Jumaat bergantung kepada negara Islam masing-masing.
Akaun rasmi Israel yang dikendalikan Kementerian Luarnya turut memuat naik ucapan serupa.
Bagaimanapun, pada masa yang sama, tentera Israel mengumumkan peningkatan operasi dan serbuan di Tebing Barat dengan alasan memastikan 'keselamatan' sepanjang Ramadan.
Jurucakap tentera bagi bahasa Arab, Lt. Kol. Ella Waweya, mendakwa operasi itu menyasarkan “unsur yang mempromosikan hasutan dan keganasan di media sosial,” dengan penahanan dijangka berterusan sepanjang bulan Ramadan.
Di Gaza, Ramadan kali ini merupakan yang ketiga dalam keadaan konflik berpanjangan, dengan penduduk berdepan ketidakpastian dan krisis kemanusiaan yang serius.
Walaupun gencatan senjata diisytiharkan beberapa bulan lalu, ramai mangsa yang terselamat masih hidup dalam keadaan sukar dan berbuka puasa di khemah sementara di tengah kemusnahan akibat serangan berlarutan.
Di Baitulmaqdis, polis Israel turut meningkatkan kehadiran keselamatan di sekitar Masjid Al-Aqsa sepanjang Ramadan.
Pegawai Palestin mendakwa terdapat sekatan akses yang dikenakan terhadap jemaah, yang menurut mereka menjejaskan kebebasan beragama.- Agensi