NARANJAL – Satu penemuan mengerikan mengejutkan penduduk Ecuador apabila lapan kepala manusia ditemui di dalam dua guni di kawasan Jesus Maria, Naranjal, wilayah Guayas, pada Selasa lalu, bersama satu nota ringkas bertulis 'dilarang mencuri'.
Pihak berkuasa percaya insiden ini berkaitan dengan keganasan geng jenayah tempatan, memaksa polis segera memulakan siasatan dan menugaskan unit khas untuk meneliti kejadian itu.
Menurut pegawai polis tempatan, Marcelo Castillo, kepala-kepala itu dijumpai di kilometer 66.
Pegawai forensik tempatan, Fidel Penaranda, menganggarkan kepala-kepala tersebut dipisahkan kira-kira 60 jam sebelum ditemui.
Mayat telah dipindahkan ke morgue Naranjal untuk siasatan lanjut bagi menentukan identiti mangsa.
Mangsa dipercayai lelaki berumur antara 16 hingga 22 tahun, dengan tujuh daripada lapan dikenal pasti iaitu Luis Jhonny Zambrano Macías, 22; Anthony Silvano Mendoza Quiroz, 22;Limber Yancarlos Romero Baren, 21;Josué Gregorio Romero Reyes, 19;Kelvin Efraín Mendoza Meza, 18; Édison Rodolfo Mera Macías, 18;Cristopher, 16.
Identiti mangsa kelapan masih belum diketahui. Keluarga mangsa yang dikenal pasti turut menolak untuk mengulas insiden ini.
Pemilik restoran tempatan, Sara Mota berkata, kejadian itu menjejaskan sambutan karnival tempatan:
“Kematian ini menghentikan seluruh perayaan; tiada pengunjung datang. Hidangan yang tidak terjual kami dermakan kepada badan amal.”
Penduduk juga dilaporkan enggan keluar selepas gelap kerana bimbang keselamatan diri.
Penemuan lapan kepala ini menjadikan jumlah keseluruhan kepala manusia yang ditemui di Ecuador setakat ini 13 kes, selepas lima kepala dijumpai tergantung di wilayah pantai Manabi pada 11 Januari lalu, di pantai pelancongan Puerto Lopez.
Pihak polis dan Pejabat Pendakwa Raya telah menugaskan unit khas dari Direktorat Penyiasatan Khas Kebangsaan untuk menyiasat kes ini. Teori utama adalah pertembungan ganas antara geng jenayah tempatan.
Insiden ini menimbulkan kebimbangan mendalam dalam kalangan komuniti tempatan yang kini hidup dalam ketakutan dan menjejaskan aktiviti harian mereka.-Agensi