KOTA BHARU – Peningkatan jumlah pesakit kanser yang mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan di negeri ini disifatkan sebagai petanda positif terhadap tahap kesedaran masyarakat yang semakin meningkat mengenai kepentingan pengesanan awal.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, statistik menunjukkan bilangan pesakit kanser di Kelantan meningkat daripada 5,888 kes bagi tempoh 2012 hingga 2016 kepada 6,172 kes bagi tempoh 2017 hingga 2021.
“Peningkatan ini menunjukkan sistem saringan dan pengesanan yang lebih berkesan.
“Ini juga bukti kesediaan pesakit tampil mendapatkan rawatan lebih awal,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat negeri Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini pada Rabu.
Di peringkat global, sebanyak 20 juta kes kanser baharu dilaporkan dengan 9.7 juta kematian, manakala di Malaysia pula sebanyak 121,607 kes baharu direkodkan bagi tempoh 2022 hingga 2024.
Kata Dr Azman, di Kelantan, kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma dan hati menyumbang kira-kira 51 peratus daripada keseluruhan kes.
Dalam pada itu, beliau memberitahu penubuhan klinik khas seperti Pink Ribbon Centre di HRPZ II membantu mempercepatkan proses diagnosis dan rawatan.
Katanya, jika sebelum ini pesakit perlu menunggu antara satu hingga dua bulan untuk temu janji pakar, kini tempoh itu berjaya dipendekkan kepada kira-kira tiga minggu sebelum rawatan dimulakan.
“Sepanjang tempoh setahun lalu, seramai 319 pesakit dirujuk ke klinik berkenaan sebagai kes suspek, dengan 124 daripadanya disahkan menghidap kanser selepas menjalani siasatan lanjut.
“Lebih membanggakan, tiada pesakit yang tercicir atau gagal meneruskan rawatan selepas didiagnosis,” katanya.
Menurutnya, peluang rawatan dan kadar kelangsungan hidup jauh lebih tinggi sekiranya kanser dikesan pada peringkat awal.
“Selain rawatan perubatan, pendekatan sokongan menyeluruh turut diperkenalkan termasuk khidmat kaunseling, pemulihan fizikal dan bantuan kebajikan bagi memastikan pesakit tidak berdepan tekanan kewangan atau emosi sepanjang menjalani rawatan.
“Kanser bukanlah hukuman mati, dengan rawatan moden seperti pembedahan, kemoterapi, radioterapi serta ubat biologi, ramai pesakit mampu menjalani kehidupan berkualiti, malah ada yang sembuh sepenuhnya bergantung kepada tahap penyakit ketika dikesan,” katanya.