Polis ronda kawasan perumahan elak pecah rumah musim raya

Iklan
Mohamad Ismail (dua dari kanan) menyerahkan cenderahati kepada penunggang motosikal.

BACHOK – Polis mempergiat rondaan di seluruh kawasan perumahan di daerah ini sepanjang musim perayaan bagi mengekang kejadian pecah rumah ketika penduduk pulang bercuti.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata operasi yang bermula Ahad lalu dan akan berlangsung hingga Jumaat ini memberi fokus kepada kawalan pencegahan jenayah dan pemantauan lalu lintas sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepanjang tempoh operasi enam hari berkenaan, tiada kes pecah rumah dan kemalangan maut direkodkan di daerah itu.

“Setakat ini, kes pecah rumah adalah sifar dan kemalangan maut juga sifar.

Iklan

“Kami mahu pastikan penduduk yang pulang ke kampung atau bercuti meninggalkan rumah dalam keadaan selamat,” katanya sempena Op Selamat Tahun Baharu Cina di Petron Badak, di sini, pada Selasa.

Mohamad Ismail (tiga dari kanan) melakukan pemeriksaan trafik sambil menyampaikan cenderahati kepada pengguna jalan raya.

Iklan

Beliau berkata, rondaan dilakukan 24 jam sehari membabitkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda (MPV), meliputi kawasan pentadbiran Balai Polis Bachok, Tawang, Jelawat dan Gunong.

Menurutnya, tumpuan juga diberikan kepada rumah yang ditinggalkan kosong selepas pemiliknya memaklumkan perkara itu kepada polis menerusi sistem Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

“Orang ramai boleh memaklumkan tempoh mereka meninggalkan rumah melalui aplikasi VSP dengan menyatakan jumlah hari untuk kami membantu membuat rondaan berkala di kawasan berkenaan.

“Setakat ini, kami menerima lima makluman rasmi melalui sistem berkenaan yang menunjukkan ada kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk bekerjasama dengan polis,” katanya.

Mohamad Ismail berkata, maklumat yang disalurkan adalah sulit dan rondaan akan dipertingkatkan di kawasan terbabit bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata bagi tempoh semasa, empat kes pecah rumah direkodkan dalam enam minggu pertama tahun ini dengan tujuh tangkapan dibuat membabitkan suspek tempatan berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

Selain pencegahan jenayah, polis turut memberi tumpuan kepada kawalan lalu lintas berikutan peningkatan kemasukan kenderaan ke Bachok sepanjang cuti perayaan.