Aktivis saran undang-undang khusus kawal rumah ibadat

Iklan
Liyana Marzuki

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mempertimbangkan Akta Rumah Ibadat bagi menangani isu pembinaan dan penggunaan premis atau bangunan ibadat tanpa kelulusan yang telah berlarutan sejak beberapa dekad lalu.

Aktivis politik yang juga bekas Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara, Liyana Marzuki berkata, cadangan tersebut bukan untuk meruntuhkan rumah ibadat, sebaliknya bertujuan memastikan ia dikawal selia, diurus dengan baik dan tidak menjadi punca pertelingkahan antara rakyat.

Iklan
Iklan

“Antara intipati prinsip yang boleh diambil termasuk kelulusan perancangan wajib iaitu semua pembinaan atau penukaran bangunan kepada rumah ibadat mesti mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu. Sekarang ini masjid sahaja yang dikenakan syarat tersebut.

“Selain itu, kesalahan membina tanpa kelulusan juga boleh dipertimbangkan, iaitu pembinaan atau penggunaan rumah ibadat tanpa kelulusan merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan denda atau penjara,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, pendaftaran nasional rumah ibadat dan penguatkuasaan berperingkat juga boleh dipertimbangkan dalam akta berkenaan.

“Penguatkuasaan dari segi notis, mediasi, tempoh pematuhan hinggalah tindakan terakhir termasuk perobohan boleh dibuat.

Iklan

“Penubuhan panel teknikal di peringkat negeri bagi menilai aspek keselamatan, perancangan, kesesuaian kawasan dan ketenteraman awam tanpa veto agama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Liyana berkata, beberapa negara luar juga mengambil pendekatan menguruskan isu berkenaan menerusi penguatkuasaan undang-undang perancangan bandar masing-masing.

“Sebagai contoh, di United Kingdom (UK), pembinaan rumah ibadat tertakluk kepada Town and Country Planning Act 1990 yang mewajibkan kelulusan perancangan tempatan sebelum sesuatu premis digunakan sebagai tempat ibadat.

“Di Singapura, kawal selia dibuat di bawah Planning Act dan garis panduan Urban Redevelopment Authority (URA), termasuk zon khas bagi rumah ibadat serta kawalan kesesakan dan keselamatan kawasan.

“Indonesia memperkenalkan Peraturan Bersama Menteri (PBM) Tahun 2006 bagi mengawal pembinaan rumah ibadat untuk mengelakkan konflik komuniti,” katanya.

Tambah beliau, isu rumah ibadat tanpa kelulusan telah berlarutan sejak tahun 1990-an dan masih berulang tanpa penyelesaian.

“Isu ini berlarutan berdekad-dekad kerana penguatkuasaan lewat, tindakan tidak konsisten dan kegagalan menyelesaikan masalah di peringkat awal oleh PBT serta agensi berkaitan.

“Selagi tiada kerangka undang-undang yang jelas, isu yang sama akan terus berulang. Setiap dekad kita akan kembali kepada polemik yang sama,” ujarnya.