Laksana penilaian kesihatan mental bakal pengantin - Pakar

Iklan
Penilaian tahap kesihatan mental bakal pengantin wajar dipertimbangkan sebagai syarat tambahan sebelum perkahwinan bagi mencegah peningkatan kes jenayah dalam rumah tangga. Gambar hiasan (Gambar kecil: Nur Hafizah)

SHAH ALAM – Penilaian tahap kesihatan mental bakal pengantin wajar dipertimbangkan sebagai syarat tambahan sebelum perkahwinan bagi mencegah peningkatan kes jenayah dalam rumah tangga.

Ketua Program Antropologi dan Sosiologi, Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (SEEDS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nur Hafizah Yusoff berkata, ia penting bagi mengelakkan lebih banyak kes berkaitan pembunuhan yang berpunca daripada ketidakmampuan mengurus masalah atau tekanan.

Iklan
Iklan

"Selain itu silibus kursus perkahwinan juga mungkin perlu disemak semula melibatkan elemen pengurusan emosi dalam perkahwinan bagi menyediakan pasangan untuk mengurus emosi sendiri, pasangan serta anak-anak.

"Ahli keluarga perlu memainkan peranan jika melihat tanda-tanda ahli keluarga lain yang memiliki masalah berkaitan kesihatan mental, masalah kewangan atau masalah lain," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan kejadian di Kota Tinggi, Johor, membabitkan seorang suami yang dipercayai mempunyai masalah mental, disyaki membunuh isterinya selepas mendakwa wanita hamil itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Selain itu pada Selasa, lima sekeluarga dilapor maut dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Lorong Cerating Damai 2, Taman Cerating Damai, Kuantan, melibatkan seorang lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak perempuan berusia tiga dan empat tahun.

Iklan

Dalam pada itu, Nur Hafizah yang juga Penyelaras Program Pengajian Kepolisan UKM-PDRM menjelaskan, kejadian kes bunuh diklasifikasikan sebagai jenayah interpersonal yang lazimnya melibatkan individu terdekat seperti pasangan atau ahli keluarga sendiri.

Malah beliau menegaskan, kes-kes berkenaan secara tidak langsung menggambarkan institusi keluarga semakin rapuh apabila perkahwinan yang sepatutnya menjadi ruang perlindungan bertukar kepada punca ancaman keselamatan.

"Situasi ini perlu dilihat secara serius kerana institusi keluarga yang rapuh bakal memberi gambaran kepada orang bujang untuk berkahwin.

"Pengesanan dan pencegahan awal masalah boleh membantu mengelakkan seseorang individu mengambil jalan pintas bagi menyelesaikan masalah.

"Institusi keluarga berperanan memberi perlindungan emosi, fizikal dan psikologi kepada pasangan dan anak-anak," ujarnya.