Ratusan ikan kelah mati: Ikan kini selamat dimakan - Jamawi

Iklan
Jamawi ketika ditemui pemberita di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Ikan pelian atau kelah yang sebelum ini ditemui mati dalam jumlah banyak di beberapa sungai di negeri ini dipercayai akibat serangan penyakit Koi Herpes Virus (KHV) kini disahkan selamat untuk dimakan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, tiada kes baharu direkodkan sejak lebih dua bulan lalu dan keadaan kini berada dalam kawalan.

Iklan
Iklan

"Kita menerima laporan daripada beberapa pengusaha tagal, khususnya di kawasan pedalaman termasuk Tambunan, Keningau dan Tenom, mengenai kematian ikan kelah yang agak tinggi kira-kira satu hingga dua bulan lalu.

"Jabatan Perikanan telah mengambil sampel dan mengenal pasti puncanya ialah virus. Pegawai kita telah berkampung di kawasan terjejas sejak Disember lalu dan setakat ini tiada lagi laporan kes baharu," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Iklan

Menurut beliau, situasi itu berjaya dikawal hasil pemantauan rapi serta larangan memindahkan ikan dari kawasan terjejas ke lokasi lain.

"Setakat ini ia selamat dimakan dan tiada masalah. Namun, kita perlu berhati-hati dan tidak memindahkan ikan-ikan ini kerana dikhuatiri boleh menyebabkan jangkitan pada masa akan datang.

Iklan

"Kita telah mengarahkan pegawai supaya memastikan tiada pemindahan ikan dari kawasan terlibat bagi mengelakkan penularan," katanya.

Mengulas mengenai punca jangkitan, beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan sumber sebenar virus itu belum dapat dipastikan.

"Kita maklum Sungai Padas berpunca dari Kalimantan dan alirannya masuk ke Sungai Pegalan sebelum ke kawasan Keningau serta Tambunan. Namun, kita belum dapat mengesahkan punca sebenar.

"Tahun lalu, virus sama dilaporkan menyerang kawasan Kalimantan, tetapi perkara ini masih dalam kajian," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kematian ratusan ikan pelian di Sungai Matang sehingga mencetuskan tanda tanya dan kebimbangan penduduk di Kampung Long Pasia, Sipitang.