KOTA KINABALU – Pelaksanaan syarat jaminan bank pada kadar tinggi mencecah RM250,000 terus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengusaha umrah di Sabah.
Bekas Presiden Persatuan Umrah dan Haji Negeri Sabah, Awang Suhaimi Awang Mohd Said, berkata syarat tersebut boleh membebankan agensi berlesen tempatan dan berpotensi mencetuskan amalan umrah secara ‘do it yourself’ (DIY) atau pengendalian tanpa lesen.
“RM250,000 mungkin kecil bagi pihak tertentu, tetapi jumlah itu sangat besar bagi kami di Sabah dan Sarawak. Apabila syarat ini dikenakan secara mengejut, ia akan menekan pengusaha tempatan dan boleh mendorong kewujudan umrah DIY atau pengendalian secara tidak berlesen.
“Sedangkan jika melihat kepada rekod, setakat ini hampir tiada kes jemaah terkandas melibatkan agensi umrah berlesen dari Sabah. Kebanyakan kes yang berlaku menggunakan pakej dari luar negeri, justeru pendekatan pukul rata ini perlu dikaji semula supaya tidak menghukum pengusaha yang beretika dan patuh peraturan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Expo Destinasi Pelancongan Muslim dan Umrah Sabah, di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Presiden Persatuan Umrah dan Haji Negeri Sabah, Nor Azmi Abi Syafian, menjelaskan bahawa setakat ini tiada satu pun daripada 15 agensi berlesen di Sabah terlibat dalam kes penipuan umrah.
Beliau menegaskan kebanyakan kes penipuan berpunca daripada tawaran pakej yang tidak munasabah dan dikendalikan oleh pihak tidak berlesen, manakala agensi berlesen tempatan sentiasa beroperasi mengikut etika serta garis panduan kerajaan.
“Selain isu jaminan bank, ekspo destinasi pelancongan Muslim dan umrah yang dianjurkan persatuan ini merupakan platform untuk memperkenalkan pakej pelancongan Muslim tempatan dan luar negara seperti Turkiye, Yunani dan Mesir, termasuk destinasi desa, penginapan mesra Muslim, kemudahan solat serta makanan halal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap ekspo yang akan diadakan bermula 7 hingga 10 Mei ini dapat membantu rakyat Sabah mengenali kewujudan agensi berlesen tempatan serta memberi keyakinan untuk memilih pakej ditawarkan, sekali gus memperkukuh industri pelancongan Muslim di negeri ini.
“Kami berharap ekspo ini dapat memberi kesedaran bahawa agensi tempatan berlesen di Sabah wujud dan beroperasi secara beretika,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha persatuan, Norhafizah Aliakbar, turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang meneliti penggunaan insurans sebagai alternatif kepada syarat jaminan bank RM250,000, khususnya bagi pengusaha di Sabah dan Sarawak, namun perkara itu masih belum dimuktamadkan.