Penunggang motosikal parah tersepit belakang lori sampah

Iklan
Seorang lelaki parah selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori sampah dalam kemalangan di George Town pada Selasa.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki cedera parah selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori sampah dalam kemalangan di Jalan Free School, Taman Free School, pada  Selasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.12 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai sebelum tiba tujuh minit kemudian.

“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 yang melanggar bahagian belakang sebuah lori sampah.

Iklan

“Penunggang motosikal didapati tersepit di bahagian belakang lori tersebut manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, mangsa yang berusia 36 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan berada dalam keadaan separuh sedar ketika ditemui di lokasi kejadian.

Iklan

"Anggota bomba yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri menjalankan kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 4.24 pagi sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut," ujarnya.

Menurut beliau, operasi yang melibatkan enam anggota bersama sebuah jentera FRT itu turut dibantu pihak polis dan KKM.

"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.37 pagi selepas keadaan disahkan selamat," katanya lagi.