KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menjalankan operasi bersama imigresen bagi mengesan warga asing yang melakukan kesalahan menggunakan lesen memandu milik warga tempatan.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Datuk Jazmanie Shafawi, berkata, mereka dipercayai termasuk etnik Rohingya yang memegang dokumen Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).
“Mereka ini dipercayai memandu kenderaan warga tempatan bahkan menggunakan lesen warga kita.
“Biasanya apabila ditahan mereka tunjuk kad UNHCR, tapi sebenarnya satu kesalahan menggunakan lesen orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Op Tahun Baharu Cina 2026 di Terminal Bas Lembah Sireh di sini pada Isnin.
Menurutnya, operasi mengesan pemandu warga asing menggunakan lesen warga tempatan terbabit dilaksanakan di seluruh negeri bagi mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.
“Setiap kes yang dikesan akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
“Tndakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya dan syarat lesen memandu,” katanya.
Selain itu, beliau memberitahu JPJ turut memantau penipuan tawaran lesen memandu tanpa ujian yang tular di media sosial.
“Setakat ini, semua tawaran lesen tanpa ujian adalah palsu dan tidak dikeluarkan oleh JPJ.
“Kami bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta menafikan memberi perkhidmatan lesen tanpa ujian,” katanya.
Jazmanie menegaskan orang ramai tidak seharusnya mudah terpedaya dan hanya mendapatkan lesen melalui saluran rasmi JPJ.