RAWANG - Seorang pemandu lori tersepit apabila kenderaan dipandunya itu terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer (KM) 441 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.52 pagi.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.
Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 9.09 pagi sebelum mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori kontena dan sebuah lori lima tan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ahmad Mukhlis berkata, kejadian mengakibatkan mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun tersepit di bahagian pemandu lori lima tan itu.
"Anggota bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
"Mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba di lokasi kejadian dan dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian kaki,” katanya.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan seramai 14 anggota bomba.
"Operasi turut menggunakan tiga jentera iaitu Fire Rescue Tender (FRT), Rapid Rescue Vehicle (RRV) dan Compact Fire Rescue Tender (CFRT).
"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut," katanya.