Pemuda didakwa miliki pistol, lapan peluru

Iklan
Muhamad Afezi (tiga dari kiri) dan Muhamad Ikhmal (dua dari kanan) yang tiba bagi mendengar pertuduhan di mahkamah. Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

PASIR MAS – Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan lapan butir peluru tanpa kebenaran, awal bulan ini.

Tertuduh, Muhamad Afezi Alias, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Smith and Wesson tanpa kebenaran sah di hadapan sebuah kedai karpet di Pengkalan Kubor, Tumpat, pada jam 8.30 malam, 6 Februari lalu.

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa tanpa sebab yang sah memiliki tujuh butir peluru jenis Thai Arms 9mm dan satu butir peluru jenis NRC Luger 9mm di lokasi, tarikh dan masa sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Nailah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 6 April ini sementara pengurusan kes dan lantikan peguam.

Tertuduh tidak dibenarkan jamin.

Dalam pada itu, berkait kes sama, rakan tertuduh, Muhamad Ikhmal Aripin, 26, didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Ikhmal didakwa dengan sengaja menghalang pegawai polis, Sarjan Mejar Yakub Saili ketika menjalankan fungsi awamnya di lokasi, tarikh dan masa sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mafuzah Hamizah Mohd Ariff di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.

Kes ditetapkan sebutan semula pada 7 April ini dan tertuduh dibenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.