TUMPAT – Keadaan van jenazah uzur berusia 30 tahun dan kerap rosak memaksa penduduk menggunakan lori kayu atau kenderaan pacuan empat roda bagi membawa jenazah ke tanah perkuburan di Mukim Bendang Kerian di sini.
Keadaan yang sudah dihadapi selama dua tahun itu akhirnya berakhir apabila penduduk menerima sebuah kenderaan baharu jenis Naza Ria hasil sumbangan kelab motosikal berkuasa tinggi, Tamada Motor Club pada Jumaat.
Penghulu Mukim Bendang Kerian, Mohd Yasad Abdul Aziz berkata, van jenazah sedia ada jenis Toyota Vannet yang juga ambulans terpakai dibeli kira-kira 30 tahun lalu dengan harga RM2,000 itu sudah terlalu uzur untuk digunakan penduduk.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Masjid As-Salam Mukim Bendang Kerian berkata, van berkenaan sering mengalami pelbagai kerosakan termasuk masalah bateri dan enjin sehingga pernah beberapa kali rosak ketika dalam perjalanan membawa jenazah ke tanah perkuburan.
“Macam-macam kerosakan berlaku, kadang-kadang habis bateri, enjin tak boleh hidup dan pernah rosak ketika sedang bawa jenazah.
“Jadi, kami guna lori kayu milik penduduk atau pacuan empat roda, saya sendiri pun sudah dua kali digunakan untuk bawa jenazah,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan van jenazah baharu itu di Masjid As-Salam Mukim Bendang Kerian di sini pada Jumaat.
Kata beliau, kenderaan pelbagai guna jenis Naza Ria yang diwakafkan itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 700 penduduk membabitkan 300 keluarga di Kampung Bendang Kerian dan Alor Tar.
Sementara itu, Presiden Tamada Motor Club, Yudith Baharim Baharudin berkata, sumbangan van jenazah berkenaan adalah inisiatif kebajikan pertama kelab itu dalam bentuk wakaf kenderaan.
Menurutnya, kelab yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu dan kini mempunyai 33 ahli dari seluruh Kelantan terdiri daripada golongan profesional termasuk peguam, polis, tentera dan guru, komited melaksanakan aktiviti kebajikan di negeri ini.
“Kami peruntuk kira-kira RM50,000 bagi kos pembelian Naza Ria terpakai ini termasuk pembaikian dan aksesori seperti siren hasil dana dikumpul daripada ahli-ahli kelab serta keluarga masing-masing.
“Sebelum ini kami banyak fokus kepada sumbangan untuk anak-anak yatim setiap kali musim perayaan, ini kali pertama wakaf van jenazah selepas dimaklumkan berlaku kes jenazah terpaksa dibawa menggunakan kenderaan pacuan empat roda kerana van sedia ada rosak,” katanya.