Rafizi dakwa wujud unsur kongsi gelap bolosi pentadbiran negara

Iklan
Rafizi ketika berucap pada Himpunan dan Lawan: #TangkapAzamBaki di hadapan Kompleks Sogo pada Ahad. - Foto: SINAR HARINA/MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa pendedahan yang dibuat sebelum ini membayangkan terdapat unsur kongsi gelap yang telah membolosi pentadbiran negara dan mampu mempengaruhi badan penguat kuasa.

Beliau berkata, perkara itu adalah sesuatu yang berbahaya tanpa mengira siapa yang menerajui kerajaan.

Iklan
Iklan

“Saya tak peduli kerajaan mana, saya tak peduli siapa Perdana Menteri. Tapi kalau ada unsur-unsur jenayah kongsi gelap yang mengawal badan-badan besar, yang boleh mempengaruhi penguat kuasa, masuklah Perdana Menteri macam mana pun, hancur negara ini,” ujarnya ketika berucap pada Himpunan dan Lawan: #TangkapAzamBaki di hadapan Kompleks Sogo di sini pada Ahad.

Himpunan bermula kira-kira jam 4.30 petang itu dihadiri orang ramai yang mula memenuhi kawasan sekitar sejak awal petang.

Iklan

Turut kelihatan hadir ialah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahari Hassan dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

Dalam ucapannya, Rafizi turut merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mendakwa beliau menyedari isu berkenaan dan akan menjawabnya dalam siri pertemuan bersama anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) di seluruh negara.

Iklan

Menurut Rafizi, Perdana Menteri menyifatkan tindakan pihak yang mendesak isu berkenaan sebagai ‘merengik’ dan ‘nyek-nyek’.

Bagaimanapun, beliau berkata, desakan berterusan rakyat selama lebih 20 tahun sebelum ini akhirnya membawa perubahan kepimpinan negara.

“Kami dah belajar bahawa hanya dengan rakyat merengik dan nyek-nyek lebih 20 tahun, kamu jadi Perdana Menteri,” ujarnya.

Rafizi berkata, sekiranya Perdana Menteri masih mempertahankan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, rakyat akan mengaitkan perkara itu dengan kepimpinan negara.

Beliau mendakwa desakan yang dibuat adalah atas dasar sayangkan negara dan bagi mengelakkan Perdana Menteri ‘jatuh bersama-sama’ dalam kemarahan rakyat terhadap isu berkenaan.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru wakil-wakil parti dalam kerajaan termasuk DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR supaya menyatakan pendirian masing-masing berhubung isu terbabit.

Rafizi secara khusus menyebut DAP dan mendakwa Perdana Menteri memberi perhatian sekiranya parti itu bersuara.

Beliau mengingatkan agar DAP tidak menangguhkan sebarang isyarat sehingga Jun, sambil mendakwa parti itu juga berdepan risiko dalam pilihan raya akan datang sekiranya isu berkenaan berlarutan.

Himpunan tersebut diadakan bagi menyatakan pendirian berhubung isu melibatkan Azam Baki, dengan kehadiran anggota polis bagi memantau keadaan dan perjalanan himpunan yang terkawal dari mula sehingga ia ditamatkan.